Utusan Borneo (Sabah)

RM10 juta bantuan pendidikan pelajar Sabah

- Oleh SITI AISYAH NARUDIN

KOTA KINABALU: Sebanyak RM10 juta peruntukan disediakan untuk 5,000 pelajar cemerlang dan kurang berkemampu­an di Sabah tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, pemberian bantuan itu dibayar secara terus (one-off) menerusi Yayasan Sabah.

Menurutnya, bantuan berkenaan khusus kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM).

“Ada dalam kalangan ibu bapa yang kurang berkemampu­an terpaksa berhutang untuk bayaran yuran anak-anak yang melanjutka­n pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah.

“Kita sediakan bantuan ini kerana ia amat penting dan bidang pendidikan serta sumber manusia adalah keutamaan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyampaia­n Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri Ke-29 di sini pada Khamis.

Shafie berkata, jumlah berkenaan juga akan ditambah pada tahun hadapan bagi memastikan lebih ramai anak-anak Sabah menerima manfaat bantuan itu.

Pihaknya juga merancang untuk menambah jumlah sekolah vokasional di negeri ini untuk menyelaras­kan keperluan kemahiran pelajar dengan pembanguna­n perindustr­ian.

“Cadangan ini kita akan laksanakan memandangk­an ada beberapa institusi kemahiran mempunyai hubung kait dengan industri yang kita akan tumpukan.

“Usaha ini juga tidak memerlukan kelulusan dari pihak yang berkenaan kerana sebelum ini ia sudah pernah dilaksanak­an.

“Kokurikulu­m yang disediakan juga lebih komprehens­if dan selaras dengan keperluan industri,” katanya.

Sempena dengan majlis itu, seramai 40 pelajar menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang dengan penambahan seramai 15 penerima pada tahun ini.

Setakat ini, ABCNS berjaya menaja seramai 513 pelajar dengan perbelanja­an sebanyak RM86.75 juta.

Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr. Yusuf Yacob; Timbalan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Rosmawati Lasuki dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia