Utusan Borneo (Sabah)

42 GRO warga asing ditahan

-

IPOH: Seramai 42 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat karaoke di Taman Ipoh di sini awal pagi Khamis.

Serbuan pada 1.10 pagi itu dilakukan sepasukan 24 anggota dan sembilan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman SAC Mohd Nadzri Hussain berkata daripada 42 GRO yang ditahan, lima adalah dari Vietnam dan selebihnya dari China yang berumur antara 20 dan 40 tahun.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk mengesan dan memecah masuk tiga bilik persembuny­ian GRO berkenaan.

“Pihak polis berjaya menemukan tiga bilik persembuny­ian GRO di premis empat tingkat ini dan kami mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk mengesan dan memecah masuk ke bilik itu.

“Setiap tingkat pusat karaoke ini dilengkapi sistem keselamata­n seperti penggera bagi memberi amaran kepada GRO agar bersembuny­i manakala pintu ke bilik rahsia dikawal alat kawalan jauh yang menyukarka­n polis memecah masuk,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Tinjauan mendapati bilik rahsia di balik dinding dan panel elektrik itu hanya berukuran kira-kira 1.5 kaki hingga 2.5 kaki dan turut mempunyai pendingin hawa serta air minuman.

Mengulas lanjut, Mohd Nadzri berkata dalam serbuan itu pihaknya turut menjumpai dua paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dan dua batang rokok disyaki mengandung­i dadah jenis ganja. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia