Utusan Borneo (Sabah)

Banjir dari empangan Laos paksa evakuasi di Kemboja

-

ATTAPEU: Curahan air yang dilepaskan dalam kejadian empangan pecah yang menyebabka­n kematian di Laos telah melimpah ke dalam negara Kemboja, yang memaksa ribuan penduduk untuk berpindah, manakala penyelamat semalam me-nempuh hujan monsun untuk mencari puluhan warga Laos yang masih hilang selepas seluruh kampung dihanyutka­n oleh banjir.

Seramai 27 orang sudah disahkan mati, manakala 131 masih hilang, selepas empangan Xe-Namnoy pecah pada Isnin lepas di sebuah sudut terpencil di selatan Laos, yang tidak memberi masa kepada penduduk kampung untuk menyelamat­kan diri.

Ia merupakan kemalangan yang luar biasa dalam industri tenaga hidro di Laos, di mana kerajaan komunis telah mengempang sebahagian besar jalan air yang begitu banyak di sana untuk menjana tenaga elektrik yang kebanyakan­nya digunakan oleh negara jiran.

Usaha mencari dan menyelamat memasuki hari ketiga semalam, dan China, Viet-nam dan Thailand telah menghantar pakar, manakala penduduk kampung mencari harta benda di rumah mereka yang musnah dan diliputi lumpur selepas air banjir surut.

Ribuan penduduk kampung di hulu sungai di Kemboja juga terpaksa menyelamat­kan diri selepas air yang dahulu ditahan oleh empangan meng-alir ke selatan.

“Air masih naik, jadi lebih ramai orang akan dipindahka­n,” kata Men Kong, seorang jurucakap kerajaan di wilayah Stung Streng, Kemboja, kepada AFP.

Di Laos, penyelamat dari China yang memakai jaket dan topi keselamata­n menyertai askar tempatan untuk mencari mangsa yang hilang semalam, menurut seorang pemberita AFP di lokasi, manakala sukarelawa­n masyarakat menggunaka­n bot persendiri­an untuk kembali ke kampung yang masih ditenggela­mi air sepenuhnya.

Empangan Xe-Namnoy bernilai AS$1.2 bilion (RM4.8 bilion), satu usaha sama antara syarikat-syarikat dari Laos, Thai dan Korea, masih dalam pembinaan di wilayah selatan Attapeu ketika ia pecah selepas hujan lebat membadai kawasan itu pada awal minggu ini.

Dua syarikat Korea Selatan yang terbabit dalam operasi dan pembinaan projek tersebut berkata kerosakan dilaporkan sehari sebelum empangan tambahan “Saddle D” itu pecah.

Bagaimanap­un garis masa dari operator Korea Western Power Co. yang diperolehi AFP menyebut keretakan sepanjang 11 sentimeter dikesan di bahagian tengah empangan seawal Jumaat lalu.

Syarikat itu memberitah­u AFP ia belum lagi dapat menentukan punca kejadian itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia