Utusan Borneo (Sabah)

Anak gajah mati selepas beberapa jam ditemukan

- Oleh NORWAHIDA YAMALUDDIN

LAHAD DATU: Seekor anak gajah jantan Pygmy Borneo yang belum sempat diberikan nama mati pada malam Rabu, beberapa jam selepas ditemukan di Hutan Simpan Sungai Taliwas, dekat sini.

Pegawai Hidupan Liar Daerah Lahad Datu Silvester Saimin ketika dihubungi berkata anak gajah berusia dua tahun itu ditemui petugasnya kira-kira jam 12 tengah hari dan telah mati kira-kira jam 8 malam.

“Anak gajah itu mati di tempat ianya ditemukan kirakira jam lapan malam setelah keadaannya yang semakin lemah,” katanya di sini, pada Jumaat.

Pada Rabu, Pengarah Hidupan Liar Negeri Augustine Tuuga yang mengiringi­PembantuMe­nteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assafal P. Alian turut melihat keadaan anak gajah tersebut selepas membuat lawatan kerja ke Pusat Pelanconga­n Kawag.

Pada perkembang­an sama pada Rabu, Augustine ketika ditemui berkata anak gajah itu ditemui petugas dalam keadaan lemah bersendiri­an dengan kesan kakinya yang cedera di satu kawasan berhampira­n sempadan Hutan Simpan Sungai Taliwas dengan ladang kelapa sawit.

“Kaki kanan di bahagian depan anak gajah itu telah cedera disyaki kerana terkena jerat yang dipasang pemburu di suatu tempat yang dilalui kumpulan gajah itu.

“Kecederaan itu mungkin sudah lama hingga jerat dikakinya semakin ketat hingga akhirnya menyebabka­n kakinya sukar lagi berjalan bersama kumpulanny­a,” katanya.

Difahamkan kematian anak gajah itu menjadikan 20 kematian direkodkan sejak awal tahun di negeri ini .

Ianya juga menjadikan rekod kematian kepada tiga kes disebabkan jerat yang dipasang pemburu di sekitar sempadan hutan simpan yang menjadi habitat pelbagai jenis haiwan dilindungi termasuk gajah.

 ??  ?? KEADAAN anak gajah ketika ditemukan dengan luka di bahagian kaki.
KEADAAN anak gajah ketika ditemukan dengan luka di bahagian kaki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia