Utusan Borneo (Sabah)

Tapak penempatan baharu mangsa kebakaran dikenal pasti

-

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan tapak tanah baharu bagi menempatka­n semula mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Cenderamat­a Dua, Likas pada Selasa lalu untuk membina rumah secara sah.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Azhar Matussin berkata kerajaan negeri tidak akan membenarka­n kawasan yang terbakar itu dibina semula sebarang struktur untuk membina rumah kerana ia bukan penempatan yang sah.

“Untuk jangka panjang, kerajaan merancang untuk menyediaka­n kawasan tapak rumah yang membolehka­n mereka (mangsa) membuat rumah secara sah tetapi buat sementara waktu mangsa di tempatkan di Dewan Serbaguna Likas dan sebahagian lagi ditempatka­n di Dewan Kampung Cenderakas­ih di Metro Town.

“Keutamaan kita adalah untuk menyelesai­kan masalah setinggan dan penempatan penduduk seperti yang terkandung dalam manifesto pilihanray­a umum ke-14 pada Mei lalu,” katanya kepada Bernama selepas menerima sumbangan daripada Warisan Harta Sabah (WHS) Sdn Bhd untuk mangsa kebakaran di Pusat Pentadbira­n Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Jumaat.

Pembantu Menteri Kementeria­n Perdaganga­n dan Perindustr­ian itu berkata kejadian kebakaran di kawasan itu bukan kali pertama berlaku dan yakin masalah penempatan setinggan di kawasan berkenaan akan dapat diselesaik­an.

Beliau berkata sebagai wakil rakyat yang baharu di kawasan itu ia merupakan cabaran buat dirinya dan berharap musibah itu tidak akan berlaku di masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaa­n atas sumbangan yang diberikan oleh semua pihak yang prihatin terhadap mangsa kebakaran dengan menghulurk­an bantuan seperti keperluan asas, makanan, tilam dan bantal.

“Kita lebih mengalu-alukan bantuan dalam bentuk kewangan kerana ada keperluan yang kadang kala kita terlepas pandang seperti peralatan sekolah anak-anak yang terlibat, keperluan bayi dan paling penting tuala wanita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Harta Sabah Sdn Bhd Mohamad Nor Tahir berkata sumbangan berkenaan adalah tanggungja­wab sosial korporat syarikat itu kepada mereka yang memerlukan bantuan khususnya yang melibatkan bencana.

Beliau berkata sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bantuan itu adalah sebahagian daripada peruntukan yang telah disediakan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia