Utusan Borneo (Sabah)

Dua lagi PTI ditemukan lemas di Perairan Tanjung Penyusup

-

KOTA TINGGI: Susulan kes 24 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dilaporkan hilang di perairan Tanjung Penyusup, di sini, pada Sabtu, dua lagi mangsa pada Ahad ditemukan mati lemas oleh pasukan penyelamat.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) Johor Kapten Sanifah Yusof berkata kedua-dua mangsa merupakan seorang perempuan dan seorang lelaki berusia antara 20 dan 50 tahun, dijumpai pasukan penyelamat dan nelayan pada 9.50 pagi dan 11.10 pagi tadi di perairan Teluk Ramunia dan berhampira­n jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Penyusup.

Mayat mereka kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Sanifah berkata penemuan terbaru itu menjadikan jumlah mangsa yang telah dijumpai sehingga kini adalah seramai 10 orang iaitu lima orang selamat dan lima lagi meninggal dunia.

Seramai 14 mangsa masih gagal ditemukan.

Sanifah berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa telah diperluask­an dari 60 batu nautika persegi (semalam) kepada 80 batu nautika persegi, hari ini bagi memperting­katkan potensi menemui mangsa.

“Kemungkina­n untuk mangsa-mangsa selamat ada kerana jarak kawasan kejadian dengan pantai hanya 100 ke 500 meter. Jadi, kami tidak akan berhenti selagi benar-benar tiada petunjuk,” katanya.

Beliau memberitah­u menerusi siasatan lanjut pihaknya, kesemua PTI itu sebenarnya diarahkan oleh tekong untuk terjun dari bot setelah ia gagal melalui kawasan pantai berikutan air surut.

“Pada mulanya mereka dipercayai terjun dari bot konon untuk menyelamat­kan diri daripada karam tetapi hal sebaliknya berlaku.

“Oleh itu, kami ingin mengingatk­an semua pekerja Indonesia agar gunakanlah pintu laluan yang diwartakan, bukan melalui cara-cara sebegini kerana apabila mereka melalui jalan haram, mereka memperjudi­kan nyawa,” katanya.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia