Utusan Borneo (Sabah)

Pedang antara barang rampasan

4,476 PTI ditahan sepanjang Op Mega 3.0

-

SHAH ALAM:Pedang merupakan antara senjata yang dirampas dipercayai digunakan pendatang asing bagi mengancam nyawa anggota yang menjalanka­n Op Mega 3.0 di sekitar Taman Subang Mas, Subang Jaya di sini, Sabtu malam.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman yang menyertai operasi bersama Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftara­n Negara, mereka turut merampas beberapa senjata lain yang membahayak­an anggota pada operasi bermula 12 tengah malam itu.

“Seramai 157 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan daripada 380 orang yang diperiksa atas pelbagai kesalahan Imigresen termasuk dokumen palsu dalam operasi ini,” katanya kepada pemberita selepas pertama kali menyertai Op Mega 3.0 berkenaan Sabtu malam.

Beliau berkata sepanjang tempoh Op Mega 3.0 dijalankan bermula 1 Julai sehingga Jumaat lepas, seramai 4,476 PTI telah ditahan menerusi 1,568 operasi penguatkua­saan yang dijalankan Jabatan Imigresen di seluruh negara.

Katanya seramai 91 majikan turut ditahan bagi tempoh yang sama manakala 745 majikan telah didakwa dan diambil tindakan.

“Daripada jumlah keseluruha­n PTI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu seramai 1,255 orang, diikuti warga Bangladesh (1,246), Myanmar (455), Filipina (294) dan bakinya adalah dari negara-negara lain.

“Ini adalah komitmen yang dizahirkan dalam usaha membantera­s masalah PTI dan pekerja asing serta memastikan kesejahter­aan, keselamata­n dan kedaulatan negara ini,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Pada operasi sama, Mustafar berkata ancaman keselamata­n oleh PTI yang bersikap agresif terhadap anggota dan pegawainya sering berlaku ketika operasi dijalankan sebelum ini.

Beliau berkata antara ancaman diterima pihaknya ialah PTI meletakkan senjata termasuk parang dan kapak di belakang pintu rumah yang diserbu anggota dan pegawai Jabatan Imigresen yang boleh membahayak­an mereka.

Tinjauan Bernama mendapati seorang pendatang asing dipercayai tidak memiliki dokumen cedera selepas terjun dari tingkat satu bangunan rumah kedai di kawasan terbabit untuk meloloskan diri daripada diperiksa dalam operasi itu.

Wanita berusia lingkungan 50-an itu kemudian dibawa ke hospital berhampira­n untuk menerima rawatan.- Bernama

“Sepanjang tempoh Op Mega 3.0 dijalankan bermula 1 Julai sehingga Jumaat lepas, seramai 4,476 PTI telah ditahan menerusi 1,568 operasi penguatkua­saan yang dijalankan Jabatan Imigresen di seluruh negara. ” DATUK MOHD AZIS JAMMAN Timbalan Menteri Dalam Negeri

 ??  ?? AZIS (kanan) dan Mustafar (dua,kanan) menyertai operasi bersama Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftara­n Negara di sekitar Taman Subang Mas, Subang Jaya, Sabtu malam. -Gambar Bernama
AZIS (kanan) dan Mustafar (dua,kanan) menyertai operasi bersama Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftara­n Negara di sekitar Taman Subang Mas, Subang Jaya, Sabtu malam. -Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia