Utusan Borneo (Sabah)

Untung bersih Q2 MBSB susut kepada RM85.6 juta

-

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malaysia Building Society Bhd (MBSB) bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun, 2018, merosot kepada RM85.68 juta berbanding RM91.08 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Hasil merosot kepada RM794.14 juta berbanding RM813.41 juta sebelumnya, ekoran sumbangan yang lebih rendah daripada aktiviti pembiayaan disebabkan penutupan perniagaan konvension­al sejak suku pertama tahun ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia kelmarin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata pinjaman kasar dan pembiayaan syarikat setakat ini tahun ini meningkat 4.1 peratus atau RM1.41 bilion kepada RM35.61 bilion, sebahagian besarnya disumbangk­an oleh pengagihan pembiayaan korporat yang lebih tinggi, namun sebahagian­nya diimbangi penguncupa­n asas runcit.

Beliau berkata jumlah aset menyusut 1.6 peratus kepada RM44.10 bilion berbanding RM44.81 bilion yang direkodkan pada 31 Dis tahun lepas disebabkan aset cair yang lebih rendah akibat pengurusan penjajaran deposit.

“Memandangk­an kumpulan menyusun semula depositnya bagi menurunkan kos purata pembiayaan, jumlah deposit menyusut sebanyak RM1.28 bilion atau 3.9 peratus kepada RM31.48 bilion (dari 31 Dis, 2017),” katanya.

Beliau berkata pengembang­an dalam segmen korporat telah meningkatk­an komposisi aset syarikat antara runcit dan korporat kepada 75:25 berbanding 79:21 pada 31 Dis, 2017.

“Selain segmen korporat, penyatuan portfolio sedia ada daripada MBSB Bank turut menyumbang kepada matlamat syarikat yang bergerak secara dinamik ke arah komposisi aset sasarannya sebanyak 65:35 menjelang 2019,” katanya.—

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia