Utusan Borneo (Sabah)

Azmin setuju bawa isu kuota haji 1MDB ke Kabinet

-

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersetuju membawa isu kuota 1,200 jemaah haji yang menerima surat tawaran di bawah Program Khas Haji 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) untuk pertimbang­an Kabinet.

Persetujua­n tersebut dibuat Mohamed Azmin selepas Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) memberi jaminan bakal jemaah tersebut akan membiayai sendiri kos haji mereka.

“Kalau ikut jaminan yang diberikan oleh YB (Yang berhormat) Baling, bahawa mereka (bakal jemaah haji) tidak dibiayai daripada sumber lain termasuk Umno dan mereka mampu menunaikan haji dengan simpanan sendiri, maka saya bersedia membawa rayuan ini kepada pihak yang bertanggun­gjawab untuk dipertimba­ngkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeria­nnya pada persidanga­n Dewan Rakyat, pada Rabu.

Terdahulu, Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji membuat celahan merayu agar Mohamed Azmin membawa isu kuota jemaah haji tersebut untuk kelulusan Kabinet.

“Saya mohon dan rayu demi kelangsung­an Rukun Islam, saya minta menteri bawa hal ini ke Kabinet, beri mereka (bakal jemaah haji) peluang yang mana keluarga mereka mampu biayai sendiri,” katanya.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata program khas haji tajaan Yayasan 1MDB tidak akan diteruskan mulai tahun ini berikutan sumber dana yayasan itu mempunyai kaitan dengan 1MDB yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia