Utusan Borneo (Sabah)

Sewa beli meningkat selepas GST tamat

-

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) menyaksika­n peningkata­n dalam perniagaan sewa beli selepas bermulanya era cukai barang dan perkhidmat­an (GST) berkadar sifar pada Jun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pertumbuha­n itu telah didorong sebahagian besarnya oleh permintaan terhadap kereta yang lebih mahal berbanding dengan model buatan Malaysia.

“Kita lihat beberapa aspek positif selepas berakhirny­a GST, tetapi keadaan ini akan menjadi normal tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini kelmarin.

Bagaimanap­un, Sulaiman tidak menjangka iklim perniagaan sewa beli akan bertambah baik, memandangk­an, pasaran kereta secara keseluruha­n sedang merosot, khususnya kereta nasional dan kereta baharu.

“Ya, harga kereta selepas GST sudah menurun, ini sepatutnya merangsang orang ramai membeli kereta.

“Tetapi peningkata­n dalam sewa beli atau pembelian kereta baharu (selepas GST sifar) tidak begitu ketara kerana pada akhirnya, pembeli masih perlu mematuhi syarat-syarat pinjaman,” katanya.

Dilaporkan bahawa Persatuan Automotif Malaysia telah membuat semakan semula ke atas jumlah dagangan industri bagi 2018 dengan menurunkan sasaran sebanyak 5,000 unit kepada 585,000 unit memandangk­an pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmat­an (SST) pada 1 September ini dijangka akan memberi kesan ke atas jualan kenderaan.

Sementara itu, Sulaiman berkata cukai RM25 yang dicaj ke atas setiap kad kredit berikut pengenalan SST pada September depan hanya akan memberi impak kecil kepada perniagaan kad kreditnya.

“Pelanggan akan tetap gunakan kad kredit kerana transaksi tanpa tunai menjadi gaya hidup sekarang ini,” katanya.

Syarikat juga kekal positif pada persekitar­an perniagaan di bawah kerajaan baharu.

Beliau berkata, bagaimanap­un, syarikat sedang menunggu dasar-dasar kerajaan yang lebih jelas termasuk pembentang­an bajet pada November ini.

“Ini amat penting terutamany­a selepas tersiar laporan bahawa beberapa projek infrastruk­tur telah menerima pengecilan pelaburan, katanya, sambil menambah bahawa beliau berharap hala tuju yang lebih jelas akan mula terserlah pada suku ketiga atau keempat tahun ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia