Penghuni Rumah Edward Ekau terus mengharapkan bekalan air bersih
MIRI: Penghuni rumah panjang di Sungai Serungut, Suai di Niah, kira-kira 75 kilometer dari sini, masih menunggu dan berharap untuk menikmati bekalan air bersih seperti yang dinikmati rumah panjang dan kampung lain di sekeliling mereka.
Rumah Edward Ekau yang mempunyai kira-kira 80 penghuni, masih belum mempunyai bekalan air bersih hingga ke hari ini, sebaliknya masih bergantung kepada sungai berdekatan untuk mendapatkan sumber air bagi keperluan membasuh dan mandi.
Manakala air hujan yang ditadah dalam tangki adalah untuk keperluan harian mereka.
Salah seorang penduduk rumah panjang tersebut Sylvester Radin berkata, keadaan lebih sukar apabila sungai yang menjadi sumber bekalan air mereka berlumpur atau keruh pada musim hujan, terutama selepas hujan.
“Namun keadaan lebih buruk semasa musim kemarau apabila penduduk rumah panjang terpaksa mencari sumber air lain setelah air dalam tangki kehabisan dan sungai semakin cetek,” katanya.
Menurut Radin, penduduk kampung juga sudah merujuk perkara tersebut kepada pihak berwajib dan wakil rakyat kawasan berkenaan beberapa kali tetapi sehingga kini tiada jalan penyelesaian.
“Ia pastinya sesuatu yang sukar diterima penduduk dan amat menyedihkan kerana rumah panjang ini hakikatnya hanya di pinggir bandar, bukan di luar bandar, namun masih tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air bersih,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Pemikir Dayak (DTTG) Cawangan Miri Elias Lipi Mat yang turut membuat tinjauan ke rumah panjang tersebut mengakui pihaknya amat bersedih melihat kesulitan yang dialami penduduk setiap hari.
“Mereka ketinggalan dari segi pembangunan sedangkan bekalan air bersih merupakan faktor penting dalam pembangunan sesebuah kawasan.
“Kita berharap pihak berkuasa berkaitan dapat membantu menyegerakan kemudahan air bersih untuk penduduk terbabit agar mereka dapat menikmati kemudahan asas seperti penghuni lain penduduk di bandar,” ujar Elias.