Utusan Borneo (Sabah)

Untung Q2 MISC jatuh 42% kepada RM321.2 juta

-

KUALA LUMPUR: Syarikat perkapalan antarabang­sa, MISC Bhd mencatat penurunan keuntungan sebanyak 42.3 peratus tahun ke tahun kepada RM321.2 juta bagi suku kedua (Q2) yang berakhir pada 30 Jun 2018, sebahagian­nya disebabkan kejatuhan mendadak dalam keuntungan segmen gas asli cecair (LNG).

Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd itu berkata, keuntungan operasi segmen LNG merosot sebanyak RM283.1 juta disebabkan pendapatan yang lebih rendah untuk Q2 serta pengiktira­fan pampasan untuk penamatan awal kontrak sewa pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Kerugian operasi juga melebar bagi segmen petroleum dan kejurutera­an berat.

Sementara itu, pendapatan kumpulan turun tujuh peratus kepada RM2.14 bilion daripada RM2.30 bilion yang dicatat pada suku yang sama pada 2017, memandangk­an semua segmen perniagaan utama menyaksika­n pendapatan yang lebih rendah.

Untuk segmen LNG, pendapatan menyusut sebanyak 18.4 peratus, terutama disebabkan penguranga­n dalam kapal pengoperas­ian dan kadar sewa yang lebih rendah bagi salah satu kapalnya berikutan pembaharua­n kontrak pada Oktober 2017.

Mengenai pendapatan 9.7 peratus yang lebih rendah bagi segmen kejurutera­an berat, MISC berkata, ia disebabkan penurunan hasil daripada projek pasca belayar dan projek baru diperoleh masih berada di peringkat awal.

Perolehan asas kumpulan sesaham berada pada 7.20 sen berbanding 12.50 sen.

Mengenai prospeknya, firma perkapalan berkaitan tenaga itu berkata, pemulihan harga minyak yang mantap dalam beberapa bulan kebelakang­an ini dan minat dalam peluang pertumbuha­n telah membawa kepada peningkata­n aktiviti dalam segmen luar pesisir, terutama untuk pembanguna­n di Lembangan Atlantik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia