Utusan Borneo (Sabah)

Tiga dipenjara selepas mengaku beri rasuah

-

MIRI: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 14 hari manakala dua lagi lapan hari oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Miri pada Jumaat selepas mengaku bersalah memberi rasuah.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong semasa perbicaraa­n menjatuhka­n hukuman penjara 14 hari kepada Wong Mau Yiet, 30, manakala dua lagi tertuduh iaitu Ngu Chung Chiong, 46, dan Choo Jung Choi, 43, masing-masing lapan hari.

Mahkamah turut mengenakan denda RM10,000 untuk setiap tertuduh atau penjara sebulan jika gagal membayar.

Wong didakwa memberi rasuah RM1,500 kepada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Rizuan Makladin sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas pertuduhan mengikut Akta Kastam 1967 melibatkan barangan tidak bercukai.

Kesalahan itu dilakukan pada 14 Mac 2018 kira-kira jam 11 pagi di Lot 8685, Aras Pertama Desa Indah Tudan.

Tertuduh kedua, Ngu didakwa memberi rasuah RM1,000 kepada pegawai polis Koperal Taufik January sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas pertuduhan mengikut Akta Kastam 1967 melibatkan barangan tidak bercukai.

Kesalahan itu dilakukan pada 14 Mac 2018, sekitar jam 11.20 pagi di Lot 8689, Aras Satu Desa Indah, Bandar Baru Permyjaya.

Tertuduh ketiga iaitu Choo didakwa memberi rasuah RM1,000 kepada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Koperal Abd Azali Abd Razak sebagai dorongan tidak mengambil tindakan di atas pertuduhan mengikut Akta Kastam 1967 melibatkan barangan tidak bercukai.

Kesalahan itu dilakukan pada 14 Mac 2018, sekitar jam 12.55 tengah hari di Lot 7236, Bangunan Komersial Desa Murni di Bandar Baru Permyjaya.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalik­an oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Ikhwan Mohd Ibrahim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia