Utusan Borneo (Sabah)

Isu judi: Beberapa Ketua Polis Daerah diarah bertukar serta merta

-

KUALA LUMPUR:Beberapa Ketua Polis Daerah diarah bertukar serta merta berikutan kegagalan menangani isu perjudian di kawasan yang dipertangg­ungjawabka­n kepada mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Tanpa mendedahka­n butiran lanjut berhubung perkara berkenaan, Mohamad Fuzi berkata arahan secara spesifik telah diberikan kepada pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah.

“Kalau saya buat serbuan dan mendapati (masih) ada pusat perjudian di daerah berkenaan tindakan serta merta akan diambil.

“Sekarang ini, operasi banteras perjudian masih berterusan dan kami tidak akan bertolak ansur, kami berharap isu ini dapat diselesaik­an dalam masa terdekat ,” katanya selepas merasmikan pembukaan majlis Kursus Komunikasi Profession­al, di Maktab PDRM di Cheras, di sini, pada Isnin.

Mohamad Fuzi berkata beliau sendiri akan membuat dan menyertai operasi judi secara mengejut jika memperoleh maklumat dan mengikut keperluan.

Mohamad Fuzi berkata, PDRM sebelum ini membuka bilik gerakan untuk orang awam melaporkan kegiatan judi termasukla­h talian ‘hotline’ di seluruh negara.

“Kami ada buka talian bukan sahaja di Kuala Lumpur tapi di seluruh negara termasuk di Bukit Aman, tapi sambutan di Kuala Lumpur untuk orang awam melaporkan kegiatan judi agak dingin sekali.

“Isu judi ini banyak diperkatak­an di Lembah Klang tapi penglibata­n masyarakat untuk melaporkan kurang memberangs­angkan. Oleh itu, saya minta orang awam termasuk pengamal media melaporkan kegiatan judi kepada kami,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata pada minggu lepas polis hanya menerima 173 maklumat berkaitan isu berkenaan di seluruh negara.

Mengenai usaha kerajaan untuk membawa pulang jet peribadi milik ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, yang kini dilaporkan berada di Singapura, Mohamad Fuzi berkata PDRM masih tidak menerima maklumat berhubung perkara itu.

Menurut laporan media, jet peribadi itu dirampas oleh pihak berkuasa Singapura pada 2017 dan ditempatka­n di Lapangan Terbang Seletar.

Turut dilaporkan pesawat Bombardier Global 5000 yang dirampas itu adalah sebahagian daripada aset bernilai kirakira AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunaka­n dana yang diseleweng­kan daripada 1Malaysia Developmen­t Bhd (1MDB).

Mengenai lokasi sebenar Jho Low, Mohamad Fuzi berkata PDRM sehingga kini tidak dapat memastikan lokasi Jho Low. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia