Kebakaran besar paksa evakuasi di pulau Evia, Greece
Satu kebakaran besar berlaku kelmarin di pulau Evia di Greece berhampiran dengan Athens, kata pihak kerajaan, dengan dua kampung telah dikosongkan, kurang dari sebulan selepas lebih 90 orang terkorban dalam kebakaran hutan paling teruk di Greece.
“Perdana menteri sering berhubung dengan menteri dalam negeri berkenaan dengan kebakaran besar di Evia,” menurut pejabat Perdana Menteri Alexis Tsipras.
Menteri Pertanian Vangelis Apostolou, yang berada di tempat kejadian, memberitahu agensi negara ANA bahawa pasukan yang memadamkan kebakaran sedang berdepan satu usaha sepanjang malam.
“Pasukan dari seluruh wilayah telah dipindahkan ke sini,” kata Apostolou.
Kira-kira 500 orang di kampung tempatan Kontodespoti dan Stavros telah dipindahkan lebih awal sebagai langkah berjagajaga.
Kira-kira 250 anggota bomba dengan 62 kenderaan bomba dibantu oleh pasukan tentera yang beroperasi di kawasan tersebut, kira-kira 92 kilometer di utara Athens, menurut pihak berkuasa.
Greece yag masih lagi berkabung untuk 94 kematian akibat kebakaran hutan yang melanda pusat peranginan pantai Mati berhampiran dengan Athens pada 23 Julai. Lebih 30 masih berada hospital, beberapa orang dalam keadaan kritikal.
Kemelut kebakaran terburuk di negara itu mendorong peletakan jawatan atau pemecatan beberapa ketua di jabatan polis dan bomba, sebagai tambahan kepada menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan negara. — AFP