Hazard perlu masa kembalikan prestasi terbaik
Untuk kembali ke prestasi terbaiknya
HUDDERSFIELD, England: Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengakui pemain bintangnya, Eden Hazard, memerlukan lebih banyak masa untuk kembali ke prestasi terbaiknya walaupun mempamerkan aksi memberangsangkan pada 15 minit terakhir permainan ketika Chelsea menewaskan Huddersfield 3-0 di gelanggang lawan dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lepas.
Chelsea menangani permulaan hambar perlawanan di Stadium John Smith untuk memberikan pengurus baharu mereka kemenangan pada penampilan sulung beliau dalam Liga Perdana Inggeris selepas satu bulan penuh kesukaran.
N’Golo Kante membuka jaringan buat Chelsea, 27 hari selepas beliau membintangi Perancis yang muncul juara Piala Dunia 2018 di Rusia sebelum penalti Jorginho dan gol Pedro melengkapkan kemenangan Chelsea.
Hazard kemudian dimasukkan pada 15 minit terakhir permainan walaupun ada spekulasi mengenai masa depan pemain antarabangsa Sepanyol itu di Stamford Bridge.
Hazard dikaitkan dengan satu perpindahan ke Real Madrid, yang sudah membeli penjaga gol utama Chelsea, Thibaut Courtois, dua hari sebelum Sarri memulakan perlawanan kompetetif bersama Chelsea – satu perpindahan yang menambah ketidakstabilan di kelab.
Masa depan Hazard, yang hanya kembali berlatih bersama kelab awal minggu ini selepas membantu Belgium menduduki tempat ketiga di Piala Dunia, mungkin belum disahkan sehingga tarikh akhir perpindahan di Eropah pad 31 Ogos ini.
Kualiti beliau jelas kelihatan walaupun membuat penampilan singkat dengan larian deras dengan melepasi beberapa pemain Huddersfield sebelum mengumpan bola kepada Pedro untuk gol ketiga Chelsea.
Ditanya jika beliau terkejut dengan sumbangan Hazard, Sarri berkata: “Saya fikir Eden ketika ini tidak dapat bermain untuk 90 minit. Beliau harus meningkatkan lagi kecergasan dan juga menjalani lebih banyak latihan.
“Saya fikir apa yang terbaik ialah untuk beliau bermain 15 atau 20 minit apabila lawan kami sudah keletihan.”
Sarri berikrar untuk mempamerkan permainan menyerang di Chelsea dan pasukannya kelihatan tenang mengawal bola walaupun beliau menjelaskan beliau tidak hanya cuba meniru corak permainan yang beliau pernah gunakan ketika membimbing Napoli. — AFP
“Saya fikir Eden ketika ini tidak dapat bermain untuk 90 minit. Beliau harus meningkatkan lagi kecergasan dan juga menjalani lebih banyak latihan. Saya fikir apa yang terbaik ialah untuk beliau bermain 15 atau 20 minit apabila lawan ” kami sudah keletihan.
MAURIZIO SARRI Pengurus Chelsea