Pelaburan dan perdagangan Australia terus berkembang di Malaysia: Goledzinowski
KUALA LUMPUR: Australia menjangkakan perdagangan dua hala dan pelaburannya di Malaysia akan terus meningkat daripada A$30 bilion sekarang ini, memandangkan pembaharuan yang dilaksanakan oleh kerajaan baharu akan terus menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski.
“Malaysia di bawah Pakatan Harapan, merupakan negara yang sedang ditransformasikan melalui pembaharuan yang dibuat berdasarkan panduan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan CEP yang dipengerusikan oleh bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin di Menara Ilham di sini semalam.
Turut bersama Goledzinowski, ialah tujuh tokoh terkemuka dari Australia seperti bekas Setiausaha Kewangan Jane Halton, bekas Pengerusi Suruhanjaya Produktiviti Garry Banks, bekas Pesuruhjaya Perkhidmatan Awam Australia Lynelle Briggs, Setiausaha Pertama Damian Hickey termasuk pakar-pakar pendidikan seperti Bruce Chapman, Wendy Jarvie dan Mike Gallagher.
Menurut Goledzinowski, antara isu-isu yang dibincangkan dalam mesyuarat selama 90 minit itu ialah halhal pendidikan, kesihatan dan kewangan.
“Selain membincangkan isuisu tertentu, kita juga berdialog mengenai pembaharuan institusi, yang merupakan aspek terpenting dalam memastikan kerajaan yang telus.
“Sebagai contoh, Australia telah memperkenalkan sebuah piagam belanjawan yang telus, yang membolehkan orang ramai untuk memberi pendapat mengenai janji-janji yang telah dibuat, khususnya dalam perjalanan ke arah pilihan raya,” katanya.
Australia telah mengadakan sebuah pejabat bajet parlimen bagi menyediakan satu analisis yang objektif ke atas belanjawan yang dicadangkan oleh parti-parti politik, jadi setiap janji yang dibuat oleh pihak kerajaan atau pembangkang boleh dinilai secara objektif oleh orang ramai, katanya.
Goledzinowski juga berkongsi bagaimana Australia menguruskan sistem pendidikan tertiari, khususnya pembiayaan pinjaman pelajar.
“Kita dapat bertukar-tukar pengalaman mengenai bagaimana dua sistem itu bekerja, faedah dan kelemahan pada setiap mereka,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa di Australia, pasukan penasihat Australia (AEP) merupakan sebuah badan kekal tetapi bukan eksekutif yang menyediakan nasihat kepada kerajaan.
“Pada dasarnya, apa yang dibincangkan hari ini (semalam) adalah perkongsian pengalaman. Kita akui kepada pihak CEP bahawa kita ada buat silap dan mungkin pasukan Malaysia boleh belajar daripada pengalaman dan kesilapan itu” katanya, sambil menambah AEP juga berharap untuk terus berhubung dengan CEP.
Melangkah ke hadapan, Goledzinowski berkata, anggota-anggota AEP telah menyatakan minat mereka untuk membuat tindakan susulan mengenai harapan tersebut. — Bernama