Utusan Borneo (Sabah)

Jumlah kekurangan dana Tabung Bayaran Balik GST lebih besar: Lim

-

KUALA LUMPUR: Jumlah kekurangan dana dalam Tabung Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) adalah lebih besar daripada apa yang dilaporkan sebelum ini, iaitu RM19.248 bilion berbanding RM17.911 bilion, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sebelum ini, beliau melaporkan bahawa kerajaan terdahulu gagal membayar tuntutan cukai input dalam masa dua minggu.

“Rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang disahkan menunjukka­n bahawa, jumlah tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST lebih daripada dua minggu adalah sebanyak RM19.2 bilion setakat 31 Mei 2018.

“Daripada jumlah tunggakan RM19.2 bilion ini, sebanyak RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion dari 2017, RM2.8 bilion dari 2016 and RM0.6 bilion dari tahun 2015,“kata Lim dalam teks ucapannya di Dewan Rakyat, semalam.

Lim berkata, tunggakan bayaran balik adalah disebabkan kelemahan aliran tunai kerajaan persekutua­n akibat kekurangan disiplin fiskal, pembaziran yang berleluasa dan pertambaha­n hutang yang besar.

“Sebenarnya, apa dilakukan oleh pentadbira­n lama adalah pemalsuan akaun dan penyelewen­gan tunggakan bayaran balik cukai untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit supaya mereka dapat menunjukka­n keadaan lebihan,” katanya.

Pada 9 Ogos lalu, Lim turut menyebut bahawa, baki yang sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik GST, iaitu sebuah akaun amanah, adalah sekitar RM1.486 bilion sahaja. Oleh itu, secara bersih, jumlah kekurangan dana dalam Tabung Bayaran Balik GST ialah RM17.911 bilion setakat 31 Mei 2018.

“(Sebenarnya) angka untuk baki yang sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik adalah sekitar RM148.6 juta sahaja dan bukannya RM1.486 bilion seperti diumumkan minggu lalu.

“Ini adalah kesilapan tidak sengaja daripada pegawai pejabat saya akibat salah letak titik perpuluhan. Saya ingin memohon maaf kepada Tuan Yang Dipertua ke atas kesilapan ini,” tambahnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia