‘Membina bangsa Malaysia’
Pertandingan Pidato Kenegaraan lahir pemidato berkemahiran
KOTA KINABALU: Pertandingan Pidato Kenegaraan melahirkan lebih ramai pemidato berbakat dan berkemahiran dalam pengucapan awam.
Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani berkata pidato berupaya melatih seseorang untuk menzahirkan pendapat dengan menggunakan intonasi bahasa yang tepat serta gaya yang menarik dan menyakinkan.
“Usaha dan komitmen Jabatan Penerangan menganjurkanpertandingan inisetiaptahundapatmenjadi titik kesinambungan ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang bersemangat patriotisme dan berilmu pengetahuan selaras dengan aspirasi kerajaan dalam melahirkan modal insan belia demi pembangunan dan kemajuan negara.
“Tahniah diucapkan kepada Jabatan Penerangan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan ini. Diharapkan kerjasama serta permuafakatan ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi pada masa hadapan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah Dr Jamaluddin Mohd Ali pada Majlis Perasmian Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sabah 2018, di sini pada Selasa.
Pada pertandingan itu, peserta tuan rumah Mohd Rafee Mohamad, 30, yang membawa tajuk pidato ‘Membina Bangsa Malaysia Yang Bersatu Padu Tanggungjawab Semua’ muncul johan, sementara tempat kedua pula dimenangi peserta dari Bahagian Sandakan, Abdul Wahab Abdul Hamid dan tempat ketiga diraih peserta Bahagian Pedalaman Bawah, Kamarudin Ismail.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah Norzawiyah Bulka, Pengarah Jabatan Meteorologi Cawangan Sabah Azemi Daud serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi dan Perkhidmatan Masyarakat Wasrin Jakaria.