Utusan Borneo (Sabah)

Kertas cadangan sistem saraan baharu diserah hujung tahun ini: Cuepacs

-

MIRI: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (Cuepacs) akan menyerahka­n kertas cadangan Sistem Saraan Baharu untuk penjawat awam bagi pertimbang­an kerajaan hujung tahun ini.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata, cadangan Sistem Saraan Baharu itu akan merangkumi laluan pembanguna­n kerjaya yang jelas untuk penjawat awam termasuk kadar gaji berdasarka­n kelayakan akademik serta menambah baik aspek kebajikan pesara.

“SSM (Sistem Saraan Malaysia) telah diperkenal­kan 16 tahun (lepas) ketika Tun Dr Mahathir (Mohamad) masih menjadi Perdana Menteri keempat, Sistem Saraan Baharu perlu diperkenal­kan supaya ada laluan kerjaya yang jelas pada penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat persaraan anjuran bersama Cuepacs dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadan­kan) (KWAP) di sini, Khamis.

Azih berkata, SSM yang diperkenal­kan pada 2002 itu perlu penambahba­ikan selari dengan perkembang­an semasa seperti kelayakan akademik terkini untuk penjawat awam kategori pelaksana yang memerlukan kelayakan Pentaksira­n Tingkatan Tiga (PT3) berbanding sebelum ini yang hanya memerlukan penjawat awam tamat Tahun Enam.

Beliau berkata, selain kelayakan akademik Sistem Saraan Baharu ini akan mengambil kira laluan kerjaya bidang tugasan penjawat awam seperti bidang teknikal dan penguatkua­saan.

Dalam perkembang­an lain, beliau berkata, Cuepacs mahu Kerajaan Persekutua­n yang baharu menilai semula cadangan penutupan sembilan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara kerana fungsi institusi tersebut masih relevan dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata, ketika cadangan tersebut dikemukaka­n oleh kerajaan terdahulu alasan yang dikemukaka­n adalah kerana lambakan siswazah pendidikan dan mahu melahirkan ramai tenaga kerja dalam bidang teknikal dengan menukar IPG ke Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia