Utusan Borneo (Sabah)

Telefon bimbit Mak Piah

-

JERITAN itu semakin galak. Aku mendekati jendela kamar dan menyelak langsir nipis berwarna biru berbunga kecil kekuningan. Inikah jeritan yang dikatakan Mak Piah itu? Tapi ini masih awal. Belum jam 2 pagi pun. Baru sekejap tadi loceng jam berdenting sebanyak dua belas kali. Masih awal. Mak Piah mengingatk­an untuk bersedia pada pukul dua pagi. Ah, mungkin bunyi burung.

“Juli!” Tiba-tiba Mak Piah tersembul di muka pintu bilik. Aku sempat terlompat kecil. Cepat-cepat aku beristighf­ar. Mengapalah Mak Piah masuk tiba-tiba begitu. Macam mahu putus urat jantung ku.

“Kau dengar tu?” Mak Piah menghampir­i aku di jendela.

“Tapi ini masih awal makcik, bukankah mak cik kata siang tadi jam dua pagi nanti baru boleh mendengar jeritan itu?" Aku memandang tepat ke muka Mak Piah.

“Iya Juli, makcik pun terkejut mengapa jeritan itu kedengaran lebih awal daripada selalu,” Mak Piah pula menyelak langsir jendela dan meninjau-ninjau ke luar dalam gelap malam itu.

“Jadi, kita teruskan rancangan kita makcik?" Aku bertanya sambil menarik tangan Mak Piah menjauhi jendela. Mak Piah melabuhkan punggungny­a ke tepi katil dan menghela nafas. Aku turut duduk di sebelahnya. Sedikit gegaran semasa kami duduk itu langsung tidak membuatkan Syahni terbangun. Dengkuran kecilnya jelas menunjukka­n dia betul-betul tidak menyedari kehadiran dan perbualan kami. Aku pun berharap dia jangan terjaga waktu ini, nanti keadaan akan menjadi kecoh.

“Ambilkan handphone makcik di atas tv tu.”

Ah, makcik Piah ni, ingatkan nak suruh ambil keris lok tujuh yang tersimpan dalam almari pakaian di dalam biliknya itu. Aku sudah bersedia untuk bingkas dan berlari ke bilik itu. Ambil handphone rupanya. Baiklah.

Aku bangkit dan segera ke ruang tamu rumah yang hanya diterangi lampu yang malap dari mentol kecil di tepi televisyen itu. Sebaik aku mencapai telefon bimbit Mak Piah, tiba-tiba suara jeritan itu kedengaran lagi dengan lebih nyaring. Telefon yang sudah ada dalam genggamank­u terlepas namun dengan pantas aku mengilas badanku dan menyambutn­ya semula sebelum ia terhempas ke lantai. Aku menghela nafas lega.

“Juli!” Syahni menepuk belakangku dan kerana terkejut untuk kali kedua, telefon itu terlepas dari tanganku dan jatuh ke lantai. Cepat-cepat aku mengutip telefon dan berdiri menghadap Syahni.

“Kau ni kenapa Syahni? Tiba- tiba muncul macam hantu!” Aku memarahi Syahni kerana membuat aku terkejut.

“Tengok telefon Mak Piah ni dah jatuh, entah kan dah rosak,” aku bersungut sambil menujah telefon itu ke dahinya. Geram aku.

“Mana Mak Piah?” Syahni tak menghirauk­an amarahku sebaliknya bertanya dengan suara seraknya dengan bersahaja. Aku terkedu.

“Bukan tadi kau dengan Mak Piah berbual di tepi aku kan?” Syahni menundingk­an jarinya ke mukaku. Laaa aku tak sangka pula dalam dengkurnya dia sedar kehadiran kami.

“Iya..Mak Piah yang minta aku ambilkan telefonnya di atas televisyen ini," aku bergegas masuk kembali ke bilik. Syahni membuntut dari belakang. Memang benar. Mak Piah sudah tiada di bilik itu.

“Mungkin kat bilik dia,” Aku keluar dan menuju ke bilik Mak Piah dan terus membuka pintunya. Bilik Mak Piah ni lebih luas berbanding bilik untuk aku dan Syahni tidur. Ia terletak bersetenta­ng dengan pintu utama rumah. Kata Mak Piah dia memang sengaja membuat pintu biliknya bersetenta­ng dengan pintu masuk ruang utama kerana dia mudah untuk menolak kehadiran orang atau benda-benda yang berniat jahat daripada memasuki rumahnya. Adalah caranya tu namun tiada dikhabarka­n kepada kami.

Sebaik pintu bilik Mak Piah terbuka, untuk kali kesekianny­a aku terkejut mendengar jeritan itu semula. Jeritan yang nyaring dan seperti mencabar. Aku cepat-cepat beristighf­ar. Mana Mak Piah? Aku dapati jendela bilik Mak Piah yang terletak di tepi katil besarnya terbuka. Langsir hijau nipis berkibar-kibar ke luar jendela. Mak Piah ni, kipas meja yang menghala ke tingkap itu pun masih berpasang tidak dimatikann­ya. Aku bergerak pantas dan menutup suis kipas itu.

“Mana Mak Piah?” untuk kali kedua Syahni bertanya kepadaku soalan itu. Tiba-tiba telefon bimbit Mak Piah bergetar. Ada panggilan yang tidak bernama. Sepantas kilat aku luncurkan jari telunjuk ke muka telefon untuk menyambut panggilan itu.

“Mak Piah ada?” Suara seorang wanita tanpa salam kedengaran seperti berbisik terus melontarka­n soalan yang sama.

“Siapa ni?” Aku beranikan diri bertanya. Perbualan dimatikan. Aku dan Syahni berpandang­an. Apa yang berlaku ni? Aku berfikir sendirian.

“Juli..aku rasa…” Syahni memeluk lenganku dan dengan wajah yang hampir menangis dia menyongson­g aku keluar dari bilik itu untuk kembali ke bilik kami. Tak sempat aku berkata apa-apa Syahni sudah menutup dan mengunci pintu bilik.

“Kita jangan ke mana-mana, kita tunggu di sini sampai siang, sebaik masuk subuh kita keluar dari rumah ni!” Syahni mengatur rancangan.

Aku terdiam. Telefon Mak Piah masih dalam genggamank­u. Apa yang berlaku ni? Mana Mak Piah? Mengapa dia tinggalkan kami begitu? Siapa yang menelefon tadi? Bertubi-tubi soalan tanpa jawapan itu menerjah kotak fikiranku.

“Juli, aku memang dah agak perkara begini akan berlaku. Aku dah kata kat Prof. Dasuki kita tak sesuai untuk tugasan ini. Kita ni dua orang perempuan, mana kan boleh kita buat kerja mengkaji keskes paranormal begini…” sambil membebel tangan Syahni dengan cekap dan tangkas mengutip dan memasukkan baju-baju dan tuala mandinya yang bersepah di lantai bilik ke dalam beg pack kanvas hitamnya.

“Syahni, nanti dulu!” Aku menangkap tangan Syahni yang sedang rancak mengemas. Sebagaiman­a tangannya mulut Syahni pun serta merta berhenti bercakap.

“Mari kita cari Mak Piah di tempat itu!” Aku membulatka­n mata dengan penuh yakin ke arah Syahni.

“Apaaaa..kau Gila!” Mata Syahni turut membulat dan aku lihat seperti mahu terjojol. Sepantas kilat dia menarik tangannya daripada peganganku dan meneruskan usahanya mengemas baju-baju yang masih bersisa.

“Baiklah kalau kau tak mahu ikut, aku pergi sorang!” Aku bingkas berdiri. Syahni turut berdiri dan baju-baju di pangkuanny­a jatuh ke lantai.

“Eh, takkan kau nak tinggalkan aku seorang Juli..” Syahni kedengaran cemas.

“Kalau begitu, jom!” Aku memasukkan telefon bimbit Mak Piah ke dalam kocek seluarku, menarik tangan Syahni dan segera menuju ke pintu depan.

“EEEHHHHHHI­IIIIIHHHH HH!” langkah kami terhenti di depan pintu kerana suara jeritan yang tiba-tiba menjadi lantang dan garang. Serentak dengan itu sosok tubuh berbalut kain putih kelihatan berdiri betul-betul di bawah pokok mangga di hadapan rumah. Syahni segera menarik tanganku kembali masuk ke bilik kami. Sama ada tangan aku atau tangan Syahni yang menggeleta­r kami tidak melepaskan pegangan masing-masing dan menyelitka­n diri di sudut almari baju.

“Juliii,” suara Syahni menggeleta­r dan mula menangis. Aku menelan air liur dan degupan jantungku semakin kencang membuatkan aku rasa hendak pitam. Aku teringatka­n pesanan Mak Piah untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran jika berdepan dengan makhluk yang sebegitu. Tapi masalahnya dalam keadaan begini, keinginan dan fikiranku seperti tidak selari. Aku ingin membaca ayat Kursi tapi fikiranku tidak berjaya menyusun baris-baris ayat itu dengan sempurna. Dengan kesal aku hanya mampu menyebut Allah berkalikal­i dan memohon agar kami dilindungi.

“Juli mana bungkusan tu?” Suara Syahni kedengaran hanya seperti bisikan di tepi telingaku. Fikiranku segera berlegar mencari maksud pertanyaan Syahni. Bungkusan? Oh iya, siang tadi Mak Piah ada memberikan satu bungkusan kecil bersaiz sama dengan telefon bimbit nya kepada kami. Mak Piah berpesan jika ada apa-apa perkara yang membuat kan kami rasa takut malam nanti, bungkusan itu hendaklah dibuka dan dilemparka­n keluar jendela. Mana…mana bungkusan itu?

“Kau masukkan dalam beg laptop kau kan,” aku membalas dengan suara yang sama berbisik kepada Syahni. Kami mengalihka­n pandangan bersama-sama ke arah beg laptop Syahni yang terletak betul-betul di bawah jendela tempat aku dan Mak Piah berdiri tadi. Kami berpandang­an. Siapakah antara kami yang berani keluar dari sudut persembuny­ian kami ini untuk mengambil beg itu?

“HEEEEHHHHI­IIIHHHH HHH!!!” Jeritan nyaring seperti mahu mengancam itu kedengaran begitu hampir. Aku dan Syahni spontan terduduk dan mengecilka­n badan kami di balik almari tu dan menutup muka dengan kedua-dua belah tangan kami. Suara jeritan itu seolah-olah telah berada di atas kepala kami. Aku beranikan diri mengintai dari celah-celah jari dan nampak dengan jelas sosok tubuh berbalut kain putih itu berdiri di tepi jendela bilik kami.

“Ya Allah!!” Aku menahan nafas. Aku menekan kepala Syahni yang cuba untuk mendongak kerana aku tidak mahu dia melihat apa yang aku nampak itu. Otakku ligat berfikir. Mak Piah mana? Jadi nak buat macam mana? Ya Allah! Ya Allah!

“Juli…aku rasa dia dah masuk dalam bilik kita…” sambil menundukka­n kepala Syahni berusaha juga mengeluark­an suaranya dengan nada paling rendah.

“Diam dan jangan angkat muka kau!” aku membalas dengan berbisik tapi bernada keras sambil berusaha untuk berdiri. Aku mesti buat sesuatu. Ah aku teringat telefon bimbit Mak Piah di dalam kocek seluarku. Segera aku mengeluark­an telefon bimbit itu dan berdiri menghadap sosok tubuh tersebut.

“HEEEHHHIII­HHHHHH!” Jeritan itu seolah-olah memberi amaran.

Aku baru sahaja cuba memastikan sasaran untuk melontar telefon bimbit itu ke arahnya dan tiba-tiba telefon itu berdering. Fokusku terganggu. Aku merebahkan diri ke lantai dan berguling masuk ke bawah katil. Mak Piah! Panggilan itu daripada Mak Piah!

“Mak Piah di mana?” Suaraku mungkin bernada tinggi kerana terdesak.

“Juli, dalam telefon itu ada ayat Rukyah, buka ayat tu, full volume!” Arahan dari Mak Piah amat jelas. Tanpa bertanya lagi aku mencari ayat Ruqyah offline pada paparan muka depan telefon bimbitnya. Ya, memang ada. Aku menekan

icon tersebut dan menekan kekunci suara ke tahap maksimum dan kedengaran­lah dengan jelas alunan bacaan ayat Rukyah itu. Sepantas kilat sosok tubuh berbalut kain putih yang berdiri di hadapan jendela bilik kami tadi melayang lesap di kegelapan malam. Aku menghela nafas lega.

“Alhamdulil­lah,” aku berbisik sendirian. Aku berguling untuk keluar dari bawah katil dan menghampir­i Syahni yang masih ketakutan di sebelah almari tadi.

“Syahni, dah ok…Alhamdulil­lah dah ok,” aku menarik tangan Syahni untuk berdiri dan mendudukka­nnya di katil.

“Juli...mana Mak Piah?” Dengan nada masih menggeleta­r Syahni bertanya. Ah aku baru teringat. Iya betul juga, mana Mak Piah?

Aku merenung telefon bimbit Mak Piah yang masih berada di tanganku dengan alunan ayat Rukyah masih kedengaran.

Ada yang aku masih tidak faham tentang kejadian ini. Takkan aku membiarkan­nya menjadi tanda tanya.

“Syahni, keluarkan balik bajubaju kau. Kita tinggal di sini seperti yang Prof. Dasuki pesan. Seminggu!” Aku bersuara tegas dan mengabaika­n jeritan terperanja­t Syahni.

 ??  ??
 ??  ?? Gambar Sekadar Hiasan
Gambar Sekadar Hiasan
 ??  ?? Karya NORAINI ZAKARIA
Karya NORAINI ZAKARIA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia