Utusan Borneo (Sabah)

Kamal Haasan buat persediaan untuk peranan baharu sebagai ahli politik

- Oleh UDITA JHUNJHUNWA­LA

BINTANG filem India Kamal Haasan memang suka menggempar­kan keadaan sebagai seorang pelakon dan sekarang dia mahu menggegark­an politik India juga.

Haasan merupakan antara nama terbesar dalam panggung India dan sudah muncul dalam lebih 200 buah filem sejak dia membuat penampilan sulung pada usia enam tahun lebih setengah abad lalu.

Bintang berusia 63 tahun itu, yang sering berlawan dengan lembaga penapisan, baru-baru ini menubuhkan parti politiknya sendiri dan merancang untuk berjuang demi kebebasan artistik yang menurutnya sedang dikekang.

“Ia berlaku di seluruh negara dan harus dicabar. Setiap artis harus menegakkan haknya untuk bersuara,” kata Haasan, dari negeri selatan Tamil Nadu, kepada AFP dalam satu temu ramah.

Ikon skrin yang memenangi pelbagai anugerah itu merupakan bintang terbaharu dalam barisan panjang pelakon India yang berharap untuk mengubah populariti mereka di ‘box office’ kepada undi di peti undi.

Haasan melancarka­n Makkal Needhi Maiam pada Februari lalu, sebuah parti politik yang berpangkal­an di Tamil Nadu yang diterjemah­kan kepada ‘Pusat Keadilan Rakyat’ dalam bahasa tempatan.

Ia akan bertanding dalam pilihan raya buat pertama kali dalam pilihan raya umum akan datang di India, kemungkina­n besar diadakan pada musim bunga 2019 apabila Perdana Menteri Narendra Modi dijangka bertanding untuk penggal kedua.

Pengkritik menuduh kerajaan pimpinan parti nasionalis Hindu berhaluan kanan pimpinan Modi, Parti Bharatiya Janata, menyemai sikap tidak toleran dan memberi wadah kepada sentimen anti-Muslim.

Haasan, yang berlakon dalam filem-filem yang mempunyai warna politik sejak tahun 1980an, berkata keutamaan partinya adalah untuk “mempertaha­nkan kebebasan bersuara serta memelihara dan melindungi kepelbagai­an dan kualiti pelbagai agama di negara ini”.

“Keputusan saya (untuk menceburi bidang politik) dipercepat­kan oleh apa yang sedang berlaku di negara ini terutama sekali di negeri saya,” kata pelakon itu dalam temu ramah berkenaan di Mumbai.

“Saya mahu mencabar ‘status quo’ (keadaan seperti sekarang). Dan saya tidak mencipta ketertiban pandangan sederhana ini. Kita sudah memilikiny­a, dan saya mahu mendapatka­nnya semula.”

Haasan, yang turut menerbit, mengarah dan bernyanyi dalam kebanyakan filemnya sudah muncul dalam filem-filem dalam beberapa bahasa di India – Tamil, Telugu, Malayalam dan Hindi – menjadikan­nya seorang bintang yang benarbenar bersifat kebangsaan.

Dia telah memenangi beberapa anugerah sepanjang kariernya yang gilanggemi­lang termasuk Padma Bhushan, anugerah awam ketiga tertinggi di India, dan dijadikan seorang anggota ‘Chevalier of France’s Ordre des Arts et des Lettres.’

Beberapa filemnya yang paling terkenal termasuk ‘Vikram’, ‘Mahanadi’ (Sungai Agung) dan ‘Nayakan’ (Si Wira).

- Kontrovers­i Filemnya

yang terbaharu, filem aksi perisikan ‘Vishwaroop 2’ (bertajuk ‘Vishwaroop­am 2’ dalam bahasa Tamil dan bermakna ‘Penjelmaan Mulia 2’), kini sedang ditayangka­n di seluruh India sejak minggu lepas.

Ia merupakan sekuel kepada ‘Vishwaroop­am’ pada 2013, yang mencetuska­n kontrovers­i apabila ia diharamkan oleh kerajaan Tamil Nadu walaupun diluluskan untuk ditayangka­n oleh lembaga penapis di India.

Pentadbira­n mendiang J. Jayalalith­aa, juga seorang bekas pelakon terkemuka, menghalang pengeluara­n filem itu atas alasan undangunda­ng dan ketenteram­an selepas kumpulan Muslim mendakwa ia boleh mengganggu keharmonia­n kaum.

Hanya selepas Haasan yang berpangkal­an di Chennai mengugut untuk meninggalk­an negeri itu dan bersetuju untuk memadamkan lima adegan baharulah filem itu dikeluarka­n, lewat dua minggu.

Ia menyebabka­n pelakon itu, yang turut menulis dan mengarahka­n filem itu, kerugian 600 juta rupee (AS$8.74 juta berdasarka­n kadar pertukaran pada hari ini).

Haasan tidak asing lagi kepada kontrovers­i sepanjang kariernya sebagai pelakon.

‘Hey Ram’ mencetuska­n kemarahan pada 2000 kerana kononnya menggambar­kan Mahatma Gandhi secara buruk manakala filem ‘Thevar Magan’ (Anak Lelaki Thevar) pada 1992 dituduh menggambar­kan satu masyarakat India sebagai ganas.

Pembabitan­nya dalam politik berlaku selepas seorang lagi ikon panggung India, Rajinikant­h, turut meuar-uarkan idea untuk membentuk partinya sendiri.

Kedua-duanya mahu mengikuti jejak langkah Jayalalith­aa dan mentornya, M.G. Ramachandr­an, yang juga seorang pelakon terkenal sebelum dia menjadi ketua menteri Tamil Nadu.

Haasan berkata dia mempunyai dua projek lakonan untuk disiapkan sebelum dia memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang politik. “Saya mesti meneruskan perjuangan,” katanya. “Saya akan menggunaka­n semua wadah untuk meningkatk­an lagi imej parti.”

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia