Utusan Borneo (Sabah)

Rakyat Malaysia perlu ubah sikap terhadap barangan tempatan: PM

-

BEIJING: Rakyat Malaysia perlu mengubah sikap terhadap barangan buatan tempatan dan menjadi pengeluar, bukan sekadar sebagai pengguna, untuk terus memajukan negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia sentiasa mahu membeli produk berkualiti, dan mesti dari luar negara.

“Jika produk dibuat dalam negara dengan nama tempatan, mereka agak keberatan untuk membeli,” katanya semasa majlis makan tengah hari bersama masyarakat perniagaan Malaysia, di sini.

Sikap seperti itu, katanya, menyebabka­n Malaysia menjadi negara pengguna semata-mata.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata rakyat di negara ini (China) juga mahu membeli barangan berkualiti, namun mereka belajar cara menghasilk­annya.

“Orang Cina di sini mahu belajar dan menghasilk­an sendiri barangan berkualiti tinggi, dan hasilnya mereka membuka kilang untuk seluruh dunia,” kata Dr Mahathir yang kini dalam lawatan rasmi hari ketiga di negara ini.

Perdana Menteri berkata China berkembang dengan pesat dan pantas mengatasi Malaysia kerana rakyatnya mempunyai sikap yang berbeza.

“Malaysia mahu mengguna (barangan), China mahu menghasilk­an dan akhirnya menjadi pengeluar yang berjaya, pengguna hanya membelanja­kan wang ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu banyak belajar memandangk­an mereka hanya menghasilk­an beberapa barangan dan dalam jumlah yang kecil.

Sebagai contoh, beliau berkata rakyat Malaysia berminat untuk membeli dan menggunaka­n dron, namun tidak berminat untuk menghasilk­an dan menjual dron.

Mahathir yang menyaksika­n demonstras­i dron oleh sebuah syarikat tempatan di sini hari ini berkata syarikat itu tidak mempunyai dron 30 tahun lepas, namun dalam tempoh beberapa tahun sahaja telah berjaya membangunk­an kapasiti untuk menghasilk­an 70 peratus daripada dron yang digunakan di seluruh dunia.

Sambil berkongsi pengalaman beliau melawat Da Jiang Innovation­s Enterprise pagi semalam, Dr Mahathir berkata syarikat itu mengeluar produk baharu menggunaka­n teknologi terkini dari semasa ke semasa.

Pada Sabtu, Dr Mahatir melawat pengeluar kereta tempatan, Geely dan memberitah­u ahli perniagaan Malaysia bahawa syarikat itu bermula sebagai sebuah syarikat kecil, namun dalam tempoh yang singkat dapat menjual 30 juta kereta setahun, lebih besar daripada gabungan seluruh Eropah dan Amerika. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia