Utusan Borneo (Sabah)

Norza optimis sasaran tujuh emas boleh dicapai

-

PALEMBANG: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar) optimis kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, mampu mencapai sasaran tujuh pingat emas.

Beliau berkata dengan berbaki sembilan hari lagi sebelum menutup tirai rasminya, kontinjen negara mampu merealisas­ikan impian dengan sekurang-kurangnya dua kilauan emas pada temasya itu yang dijangka hadir di Palembang.

Selepas hampir seminggu temasya sukan kedua terbesar di dunia itu membuka tirai, Malaysia hanya meraih sebutir emas (setakat 1 tengah hari ini) yang hadir menerusi trio boling wanita negara; Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

“Saya masih optimis kita boleh raih sekurang-kurangnya enam emas lagi dan perjuangan belum selesai. Kalau kita lihat di Palembang, kita boleh sekurang-kurangnya raih satu atau dua emas lagi dan berharap empat lagi, atau lebih berbanding di Jakarta.

“Saya rasa kalau kita dapat dua lagi emas di sini, masingmasi­ng daripada boling dan sepak takraw, ia akan memudahkan kita untuk untuk mencari empat emas di Jakarta,” katanya kepada media Malaysia di Perkampung­an Atlet di sini, pada Jumaat.

Norza turut berharap, kejayaan atlet negara di kluster Palembang meraih sebutir emas dan dua perak, mampu mencetuska­n semangat atlet negara yang berjuang di Jakarta untuk meneruskan misi pemburuan pingat.

Buat masa ini atlet di Jakarta berjaya meraih sebuah pingat perak menerusi Qabil Ambak dalam acara dressage (ekuestrian) dan gangsa daripada Yap Khim Wen untuk acara Poomsae wanita (taekwondo).

Ditanya adakah Malaysia masih mampu mencapai sasaran kedudukan 10 teratas pada temasya itu, beliau berkata pihaknya mahu mencapai sasaran tujuh emas terlebih dahulu.

Mengulas berkenaan acara sukan yang gagal mempamerka­n prestasi dijangkaka­n, beliau berkata ini bukan masa untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi pihaknya perlu memastikan semangat kontinjen terus berada pada tahap tinggi.

Mengenai sukan menembak, apabila tiada seorang pun atlet negara yang mampu melepasi pusingan kelayakan, beliau meminta Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) untuk melakukan ‘post mortem’ mengenal pasti punca situasi tersebut.

“Saya ada berjumpa dengan pegawai dan atlet menembak tadi, mereka meluahkan rasa kecewa, terutamany­a apabila penembak kita mencatatka­n keputusan rendah pada permulaan saingan.

“Kita harus lihat bagaimana untuk mengatasi kelemahan kita dan bagaimana pasukan lain seperti India yang berjaya melahirkan penembak handal pada usia muda,” katanya. - Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia