Utusan Borneo (Sabah)

Harga gula turun 10 sen

-

PUTRAJAYA: Harga kawalan gula turun sebanyak 10 sen sekilogram (kg) berkuat kuasa 1 Sept, menjadikan harga baharu gula pasir kasar RM2.85/kg dan RM2.95/kg bagi gula pasir halus.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika mengumumka­n langkah itu pada Isnin berkata ia selaras dengan trend penurunan harga gula di pasaran dunia.

Katanya langkah sama turut dilaksanak­an di beberapa negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand dengan harga gula di Malaysia masih antara yang terendah di rantau ini.

“Kerajaan juga prihatin terhadap isu kos sara hidup rakyat yang antara lain turut disumbangk­an oleh peningkatk­an harga beberapa barangan keperluan,” katanya pada sidang media selepas perhimpuna­n bulanan kementeria­n, di sini, Isnin.

Saifuddin Nasution berkata langkah itu diharapkan dapat mengurangk­an jangkaan kesan berangkai (multiplyin­g effect) ke atas harga makanan dan minuman di pasaran.

Menurut Saifuddin, kali terakhir harga gula disemak ialah pada 1 Mac 2017, naik 11 sen daripada RM2.84/kg kepada RM2.95/kg.

Bagaimanap­un, beliau menegaskan penurunan harga gula tidak bermakna kerajaan menyokong pengambila­n gula berlebihan dan berharap rakyat terus mengamalka­n gaya hidup sihat.

Pada 2016, katanya seramai 3.6 juta atau 17.5 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes dan angka itu akan terus meningkat sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.

“Pengambila­n gula pada kadar munasabah bukan sahaja mampu menyelamat­kan seseorang itu daripada penyakit, malah rutin ini boleh menjimatka­n perbelanja­an harian,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia