Utusan Borneo (Sabah)

Pasangan suami isteri ditahan terlibat kes pecah kereta

-

SEREMBAN: Sepasang suami isteri yang membiayai kehidupan seharian mereka termasuk membeli dadah menerusi hasil jualan barang daripada kegiatan pecah kereta di sekitar negeri ini, diberkas polis dalam serbuan di rumah mereka di Nilai baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pasangan yang berusia 32 dan 35 tahun terbabit diberkas pada 11 Ogos lepas dan direman sehingga esok.

“Pasangan ini ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah kereta di kawasan surau dan masjid di sekitar negeri ini. Si isteri ketika ini sedang mengandung lima bulan dan semasa serbuan polis telah merampas kereta Proton Wira suspek dan pelbagai peralatan seperti pemutar skru, spanar, playar dan batang besi.

“Mereka tidak bekerja dan ketika ditahan si suami didapati positif dadah jenis meth (syabu). Menerusi tangkapan ini kita percaya sebanyak 15 kes telah berjaya diselesaik­an,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Katanya pasangan suami isteri itu yang aktif melakukan jenayah pecah kereta sejak November tahun lepas, menjalanka­n kegiatan mereka pada waktu subuh dengan menyasarka­n surau atau masjid.

“Apabila tiba di lokasi, suspek lelaki akan meletakkan keretanya bersebelah­an kereta mangsa yang hendak dipecahkan dan berpura-pura bersiap dengan memakai kopiah seolah-olah mahu pergi bersembahy­ang.

“Apabila didapati semua jemaah telah masuk ke dalam surau suspek akan mengumpil cermin pintu kereta menggunaka­n pemukar skru yang telah diubah suai sehingga pecah dan mengambil barangan berharga manakala isteri suspek akan memerhatik­an persekitar­an,” katanya.

Katanya semua barangan curi seperti komputer riba dan telefon bimbit dijual kepada orang perseorang­an dan hasil jualan tersebut digunakan untuk perbelanja­an harian dan membeli dadah.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau, suspek lelaki mempunyai empat rekod kes jenayah dan lima kes dadah manakala isterinya mempunyai satu rekod jenayah dan lima rekod dadah.

Noor Azam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduaduany­a. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia