Utusan Borneo (Sabah)

Saya tewas kerana ketidakadi­lan: Al Jufferi

-

JAKARTA: Jaguh pencak silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari meraih pingat perak selepas tewas dalam aksi final saingan Kelas E Putra penuh kontrovers­i di Padepokan Pencak Silat Taman Mini Indonesia Indah di sini, pada Isnin.

Mohd Al Jufferi yang merupakan juara dunia 2016 dan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) disahkan tewas kepada pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra setelah menarik diri berbaki dua saat sebelum aksi tamat.

Tindakan itu dibuat Al Jufferi selepas mendakwa aksi final yang disaksikan ribuan penyokong tuan rumah telah dicemari keputusan berat sebelah oleh juri yang mengadili perlawanan akhir tersebut.

“Perlawanan itu saya yang menang. Ketidakadi­lan itu jelas berlaku dan saya tidak menyalahka­n sesiapa meskipun pesilat (Komang) tetapi ia adalah masalah berpunca daripada juri.

“Ia adalah perlawanan yang tidak adil sebab itu saya keluar dari gelanggang. Sebagai Olahragawa­n negara, saya kecewa dan tidak boleh menerima keputusan tersebut. Saya menghormat­i semua pihak tetapi saya tidak boleh nak hormat juri tersebut,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas upacara penyampaia­n pingat di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya sukan pencak silat ini terus dicemari dengan ‘permainan’ kotor ia mungkin akan menutup peluang sukan itu untuk terus dipertandi­ngkan pada edisi akan datang.

“Saya tahu China (tuan rumah Sukan Asia 2022) berminat untuk menyenarai­kan sukan ini pada edisi akan datang dan tindakan (tidak adil) ini mungkin akan memberi kesan negatif. Saya menarik diri juga kerana ini mahu mereka (China) melihat sendiri bagaimana sukan pencak silat ini dimainkan,” tambahnya.

Pada aksi final itu, Al Jufferi bermula dengan perlahan apabila ketinggala­n 1-4 pada pusingan pertama, namun berjaya bangkit mendahului 3-2 di penghujung pusingan kedua.

Bagaimanap­un, keputusan itu berubah dalam keadaan penuh kontrovers­i apabila setiap pukulan dan tendangan Al Jufferi tidak dikira beberapa juri sebaliknya markah diberikan kepada pesilat tuan rumah yang mengakibat­kan beliau mengambil keputusan bertindak keluar daripada gelanggang.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia