Utusan Borneo (Sabah)

Untung bersih suku kedua BIMB meningkat kepada RM149.91 juta

-

KUALA LUMPUR: Untung bersih BIMB Holdings Bhd untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2018, meningkat 10.5 peratus kepada RM149.91 juta daripada RM135.67 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lepas.

Perolehan untuk suku berkenaan meningkat kepada RM992.17 juta daripada RM943.19 juta.

Dalam satu kenyataan semalam, kumpulan berkenaan menyebut, untuk setengah tahun kewangan pertama 2018, untung bersih meningkat 12.3 peratus kepada RM322.0 juta yang memberikan keuntungan sesaham 19.10 sen berbanding 17.60 sen bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi peringkat kumpulan Bank Islam, kenyataan itu menyebut, untung sebelum zakat dan cukai (PBZT) untuk setengah tahun kewangan pertama 2018, meningkat sembilan peratus kepada RM400.7 juta berbanding tempoh sama 2017.

Pertumbuha­n keuntungan berkenaan adalah disebabkan oleh pendapatan yang tinggi kesan daripada peningkata­n dalam kadar asas dan kadar asas pembiayaan, sebanyak 25 mata asas berkuatkua­sa Februari 2018, dan pertumbuha­n dalam pertumbuha­n pembiayaan bersih sebanyak 6.7 peratus atau RM2.7 bilion kepada RM43.2 bilion pada 30 Jun 2018, kata kumpulan berkenaan.

Pada penghujung Jun 2018, ia menyebut, Akaun Deposit dan Pelaburan Pelanggan adalah RM49.8 bilion, sementara nisbah Akaun Semasa Akaun Simpanan meningkat kepada 32.8 peratus berbanding 31.6 peratus pada penghujung Jun 2017.

“Dengan pengurusan kredit dan proses tadbir urus yang berterusan kukuh, aset kualiti bank berkenaan kekal kukuh dan ia dicerminka­n melalui nisbah pembiayaan kasar yang rendah sebanyak 0.97 peratus, susut berbanding 1.6 peratus yang dicatatkan oleh sistem perbankan pada penghujung Mei 2018.— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia