Fasih bahasa Inggeris cara terbaik tingkat kemahiran
Abang Johari mahu lebih ramai rakyat berbakat, mahir dilahirkan untuk penuhi keperluan ekonomi moden
“Anda perlu bersemuka dengan syarikat multinasional. Anda perlu bersemuka dengan syarikat-syarikat besar di Asia dan Eropah. DATUK PATINGGI ABANG JOHARI TUN OPENG Ketua Menteri
MIRI: Menguasai bahasa Inggeris merupakan cara terbaik untuk Kerajaan Sarawak meningkatkan kemahiran rakyat negeri ini khususnya dalam bidang teknologi dan inovasi. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu lebih ramai rakyat berbakat dan mahir dilahirkan memenuhi keperluan ekonomi moden termasuk industri swasta. “Anda perlu bersemuka dengan syarikat multinasional. Anda perlu bersemuka dengan syarikatsyarikat besar di Asia dan Eropah. “Hanya dengan menguasai bahasa Inggeris dapat meningkatkan kemahiran kita,” jelasnya. Beliau berkata demikian merasmikan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak di hadapan lebih 1,000 peserta terdiri daripada guru bahasa Inggeris dari seluruh Sarawak di sini, pada Isnin. Beliau menambah, penguasaan bahasa Inggeris turut membolehkan rakyat muncul sebagai pemain global selain menyifatkan bahasa antarabangsa itu penting dan strategik untuk rakyat terlibat dalam ledakan teknologi sekarang. “Untuk menjadi pemain global, pemikiran kita perlu global. Dari sini lahirlah kreativiti dan inovasi kerana kita perlu peka dengan pemikiran dan pembangunan terkini. “Kenapa? Kerana hari ini kita mudah dihubungkan. Kita tahu apa yang berlaku di seluruh dunia. Bukan hanya politik, ekonomi, tetapi teknologi baharu,” tambahnya. Abang Johari berkata, dalam Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR 4.0) sekarang, pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) menitikberatkan penggunaan robotik dalam industri. AI termasuk pembuatan telefon pintar dan aplikasi yang hampir semuanya dibangun dan dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Beliau memberitahu, rakyat tidak akan terasa terpinggir untuk berkomunikasi dengan masyarakat global yang sebahagian besarnya bertutur dalam bahasa Inggeris. Daripada aspek ekonomi, rakyat dapat membantu Kerajaan Sarawak memperluaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kekayaan sumber yang ada di negeri ini. “Untuk meningkatkan pengetahuan dan mahu menjadi inovatif khasnya dalam bidang penyelidikan, anda perlu tahu bahasa Inggeris. Sarawak memiliki banyak sumber. “Sumber adalah kekayaan kita. Tetapi kita perlu menukar sumber ini kepada sesuatu yang bernilai dan ini perlu dilakukan dengan penyelidikan,” jelasnya.