Selepas ‘Crazy Rich Asians’, ‘Searching’ intai peluang di Hollywood
ORANG Asia dalam filem baharu ‘Searching’ tidak kaya mahupun gila, tetapi filem aksi kontemporari itu dalam beberapa segi boleh dilihat sebagai perintis seperti komedi romantik besar tersebut yang kini mencipta rekod tersendiri di Hollywood. ‘Searching’, yang dibuka di pawagam Amerika Syarikat seminggu selepas penampilan sulung ‘Crazy Rich Asians’, adalah cerita tentang usaha seorang bapa untuk menjejaki anak perempuannya yang berkelakuan baik selepas anaknya itu hilang. Bukan sahaja filem bebas itu dibintangi pelakon Korea-Amerika, John Cho, dan sebuah keluarga AsiaAmerika, tetapi seluruh filem itu diceritakan menerusi laman sesawang, media sosial, telefon pintar dan skrin komputer apabila Cho cuba mendalami kehidupan peribadi anaknya untuk mendapatkan petunjuk kepada kehilangannya. “Ini adalah sebuah filem aksi yang sangat klasik dan diceritakan dengan cara yang amat tidak konvensional. Setiap babak diceritakan dari perspektif alat teknologi yang kita gunakan setiap hari untuk berkomunikasi,” kata pengarah kali pertama, Aneesh Chaganty, 27, seorang bekas pembuat iklan untuk Google berbanggsa IndiaAmerika. “Dari segi sejarah, tidak ada filem yang pernah membuat ini dengan cara yang kami cuba lakukan. Kami cuba membuat kanvas yang sangat sinematik daripada skrin yang kita gunakan dalam poket kita setiap hari,” kata Chaganty. “Saya rasa filem itu kebanyakannya adalah mengenai aspek teknologi yang negatif sama seperti aspek yang positif.” Sementara ‘Crazy Rich Asians’, mengenai kehidupan keluarga kaya di Singapura, dialu-alukan sebagai filem pertama dari sebuah studio di Hollywood dalam tempoh 25 tahun dengan barisan semua pelakon yang berasal dari Asia, ‘Searching’ pula menarik kerana memaparkan sebuah keluarga Asia-Amerika tanpa sebarang sebab khusus. “Ia secara khusus bukan bersifat Asia-Amerika. Ia secara harfiah boleh jadi sesiapa sahaja daripada sebarang keyakinan,” kata Debra Messing, yang berlakon sebagai seorang penyiasat polis dan merupakan satu-satunya watak kulit putih utama dalam filem itu. Berlakon ke dalam skrin kosong ternyata satu cabaran yang besar dan Chaganty berkata walaupun ia mengambil masa selama 13 hari untuk membuat penggambaran, filem itu memakan masa selama 18 bulan untuk disunting. “Terdapat keanehan tertentu apabila kita sekadar berlakon dalam gambaran yang amat dekat bagi sepanjang filem. Orang tidak ada di dalam bilik,” kata Cho. “Grafik tidak ada di sana. Tidak ada peluang untuk berjalan, mengekspresi diri dengan badan kita. Jadi ia menakjubkan bagi saya kerana ia berjalan dengan begitu baik sekali.” — Reuters