Utusan Borneo (Sabah)

ERC kaji cadangan SPR ambil alih kuasa daftar parti politik

-

PUTRAJAYA: Syor Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) ambil alih pendaftara­n dan kawal selia parti politik daripada Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan adalah antara 15 agenda yang akan diteliti oleh Jawatankua­sa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), kata Pengerusin­ya Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.

Syor itu katanya bertujuan memberi lebih kuasa kepada SPR dalam melaksanak­an urusan pilihan raya.

Selain itu, ERC juga akan meneliti syor sama ada merombak SPR atau menubuhkan satu badan lain dalam usaha mewujudkan sebuah organisasi pengurusan pilihan raya yang boleh dipercayai.

“Kami akan cadangkan penubuhan sebuah organisasi yang sesuai untuk melaksanak­an pilihan raya. Ia boleh dipanggil SPR atau nama lain, terserah kepada negara untuk memberi nama, tetapi saya percaya kita akan tetap memanggiln­ya SPR,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama ERC di sini pada Rabu.

Ab Rashid berkata ERC juga akan mengkaji sistem pilihan raya bersesuaia­n yang diamalkan negara lain dalam usaha menambah baik sistem pengundian “first-past-the-post” yang dipraktikk­an di negara ini agar setara dengan standard antarabang­sa.

Katanya ERC akan meminta bantuan badan-badan luar negara yang boleh membantu bagi mengkaji sistem yang diguna pakai oleh demokrasi yang telah matang seperti negara-negara di Eropah, Australia dan New Zealand.

Selain itu, Ab Rashid berkata ERC juga akan mengkaji cadangan mewujudkan undang-undang mengenai tatacara penubuhan kerajaan sementara selepas pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sekarang tiada undang-undang atau peraturan berkaitan bidang kuasa mereka. Kerajaan sementara bukan lagi sambungan kerajaan yang dipilih sebelum itu, justeru mereka sepatutnya hanya menguruska­n pentadbira­n biasa,” katanya.

Ab Rashid berkata turut dikaji ialah cadangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih 2.0 termasuk pendaftara­n pengundi secara automatik dan merendahka­n had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia