Utusan Borneo (Sabah)

Polis Marin tempur mundu

Bandar Lahad Datu diserang 27 lelaki bersenjata berpakaian ala polis hutan

- Oleh YUSOP TEPPO

SELEPAS Malaysia mencapai kemerdekaa­n pada 31 Ogos 1957, negara kita masih lagi berada didalam zaman darurat. Banyak serangan dan ancaman pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap orang awam dan pasukan keselamata­n.

Pada tahun 1960, zaman darurat itu berjaya ditamatkan. Namun begitu ancaman PKM masih lagi berterusan sehingga tahun 1989. Ancaman PKM lebih diperkatak­an oleh hampir kesemua masyarakat negara ini.

Namun begitu, tidak ramai yang memperkata­kan ancaman mundu (dalam bahasa tempatan) atau lanun dari selatan Filipina yang mengancam Negeri Di Bawah Bayu sejak awal tahun 70an hingga 90an.

Sebelum ini, penulis telah menulis rencana mengenai kejayaan polis marin menembak mati Raja Laut pada tragedi Oktober 1996 di antara Laut SegamaKina­batangan sempena Sambutan Hari Peringatan Polis ke-211. Ketua mundu yang dikehendak­i tiga negara ini telah melakukan lebih 100 siri rompakan dan membunuh 40 orang di perairan pantai timur Sabah, perairan selatan Filipina dan perairan Tarakan Indonesia.

Dalam rencana kali ini, penulis menyelongk­ar cerita di sebalik serangan 27 orang mundu bersenjata berpakaian ala Pasukan Polis Hutan (PPH) dipercayai ahli kumpulan Sharif Jaafar terhadap Bandar Lahad Datu dalam tragedi pada 23 September 1985.

Sebelum menyerang Bandar Lahad Datu, kumpulan mundu ini telah melakukan satu kes rompakan dan penculikan keatas sebuah bot tunda di Perairan Tungku.

Bot tunda berkenaan kemudian digunakan oleh kumpulan mundu itu untuk menyerang di Bandar Lahad Datu dimana mereka menggunaka­n kapal angkut balak untuk menyembuny­ikan dua buah bot pam mereka. Ia kerana, pada ketika itu bot pam yang bersayap telah diharamkan penggunaan­nya di perairan Sabah.

Kumpulan itu kemudianny­a menyusup masuk ke pelabuhan Lahad Datu tanpa disedari oleh pihak berkuasa kerana ratarata orang tidak perasaan ketika dua buah bot pam terbabit berganding dengan kapal angkut balak dan berjaya mendarat di jeti awam Bandar Lahad Datu.

Seramai 27 lelaki berpakaian warna hijau sama seperti yang digunakan oleh PPH pada ketika itu naik ke Bandar Lahad Datu. Kebanyakan dari mereka berambut panjang dan menjadi kebiasaan anggota PPH yang baru balik operasi berambut panjang sedikit dari biasa. Oleh demikian, penduduk setempat tidak mengambil peduli tentang kehadiran mereka yang dianggap sebagai PPH.

Kumpulan mundu itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan dalam rancangan menyerang Bandar Lahad Datu. Ada satu kumpulan yang terdiri daripada empat orang pergi ke sebuah kedai kopi yang terletak lebih kurang 80 meter dari Pangkalan Polis Marin Lahad Datu.

Semasa sampai di kedai berkenaan salah seorang mundu memberi amaran dalam Bahasa Melayu pelat Filipina kepada pelanggan yang berada di kedai itu... “Kamu jangan ke manamana, ada mundu datang mahu merompak…”. Kebanyakan pelanggan menganggap arahan itu adalah betul yang dikeluarka­n oleh anggota PPH.

Namun, tiga anggota marin yang pada ketika itu turut minum di kedai berkenaan menyedari bahawa lelaki itu bukanlah anggota PPH kerana mereka menggunaka­n senjata M14 dan Garand serta memakai kasut ‘kungfu’.

Tanpa disedari oleh kumpulan mundu itu, tiga anggota polis marin itu kemudian melarikan diri balik ke pangkalan. Sampai di Pangkalan Marin, mereka terus mencapai senjata

‘General Purpose Machine

Gun’ (GPMG) yang ada di kubu Pangkalan Marin dan juga botronda PGR 8 yang kebetulan baru tamat tugas rondaan. Menyedari tiga anggota berjaya balik ke pangkalan, kumpulan mundu terbabit melepaskan tembakan tetapi tidak menepati sasaran.

Pada saat itu, bermulalah pentempura­n di Bandar Lahad Datu. Polis marin turut diserang dari beberapa arah termasuk dari tempat mula kumpulan lanun itu mendarat. Dalam masa yang sama, Bandar Lahad Datu mula cemas dengan bunyi tembakan dan bunyi letupan RPG serta bom tangan yang dilancarka­n oleh kumpulan mundu terbabit.

Kapal PLC 1 yang berada di pangkalan turut ditembak dengan RPG. Begitu juga dengan anggota yang mempertaha­nkan Pangkalan Marin, ditembak tanpa belas kasihan.

Dalam pertempura­n itu, dua anggota Polis Marin ditembak dan salah seorang ditembak di bahagian perut menyebabka­n perutnya terburai. Namun pantang menyerah sebelum ajal, anggota polis itu masih lagi memberi tentangan terhadap kumpulan mundu.

Ketika serangan selama dua setengah jam itu, kumpulan mundu berkenaan dilaporkan merompak sebuah bank dan enam orang awam mati serta ramai mengalami kecederaan sebelum kumpulan mundu melarikan diri menggunaka­n dua bot pam milik mereka.

Kejadian serangan ke atas Bandar Lahad Datu mengejutka­n banyak pihak, yang telah menyebabka­n Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar dua kapal kelas PC dan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula menghantar sebuah pesawat jenis Couribo dari Labuan ke perairan Lahad Datu.

Selain itu, kapal ronda marin PZ 13 KPD Parangan yang berpangkal­an di Tawau diarahkan keluar dengan segera dari Tawau menuju ke kawasan perairan Pulau Mataking, Semporna. Beberapa kapal ronda Polis Marin yang lain sedang membuat rondaan berhampira­n agar memintas kumpulan mundu terbabit.

ABDUL RAHIM CERITA TRAGEDI 23 SEPTEMBER 1985

Bekas Komander Pasukan Polis Marin, SAC Dato’ Abdul Rahim Abdullah merupakan salah seorang pegawai yang terlibat dalam pertempura­n dengan kumpulan mundu yang menyerang Bandar Lahad Datu.

Abdul Rahim berkata serangan mundu ke atas Bandar Lahad Datu pada 23 September 1985 merupakan tragedi yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun.

Beliau memulakan kerjayanya dalam PDRM pada 25 Mei 1980 sebagai inspektor polis dan selepas tamat latihan beliau telah ditugaskan di Cawangan Polis Marin sebagai Pegawai Pemerintah Polis Marin Zon Lahad Datu.

Serangan mundu di Lahad Datu masih segar dalam ingatan walaupun telah bersara pada 15 Ogos lepas. Abdul Rahim menceritak­an tragedi berdarah itu di mana pada 23 September 1985 kira-kira jam 8 pagi, sekumpulan nelayan telah ditahan dan dirompak oleh 27 orang mundu yang diketuai oleh Sharif Jaafar di kawasan Laut Makau, Tungku Lahad Datu.

“Mundu menggunaka­n dua bot pam serta dilengkapi senjata M1, M14, M16, M60, M79 dan pelancar roket. Mereka juga telah menahan sebuah kapal tunda ikan Soo Meng. Kira-kira jam 11 pagi, kumpulan mundu itu telah bergerak menghala ke arah Lahad Datu menggunaka­n dua bot pam dan kapal tunda ikan Soo Meng dengan menawan empat orang nelayan.

Beliau berkata sebelum meninggalk­an Makau, salah seorang penculik berkenaan telah memaklumka­n kepada kumpulan nelayan yang dirompak bahawa mereka akan menyerang Bandar Lahad Datu dan ingin memusnahka­n kapal PX Polis Marin Lahad Datu.

“Pada jam 1 petang hari yang sama, kumpulan nelayan itu kemudianny­a telah berjaya balik ke Makau dengan berdayung dan telah melaporkan kejadian itu kepada anggota PPH di Pos Makau. Disebabkan masalah komunikasi pada ketika itu, berita kejadian itu gagal disampaika­n ke pasukan keselamata­n yang berada di Lahad Datu,” katanya.

Abdul Rahim berkata kumpulan nelayan itu hanya berjaya membuat laporan polis kira-kira jam 3 petang hari yang sama di Balai Polis Tungku (Tungku Repot 127/85) bersabit kejadian rompakan, culik serta rancangan mundu untuk menyerang Lahad Datu.

Hanya lewat satu jam laporan polis dibuat, beliau berkata 27 orang mundu berpakaian hijau ala tentera atau Pasukan Polis Hutan (PPH) dengan lengkap bersenjata telahpun mendarat di Jeti Ko-Nelayan bersebelah­an Jeti Polis Marin di Jalan Kastam Lama di Bandar Lahad Datu.

“Dalam kejadian jam 2 petang itu, kumpulan mundu telah berpecah kepada beberapa kumpulan menuju ke kawasan Standard Chartered Bank berhadapan Hotel Mido. Kumpulan ini akhirnya masuk ke dalam Standard Chartered Bank dan melepaskan tembakan rambang ke arah bangunan dan kenderaan serta melarikan RM195,798.47 dari bank berkenaan,” katanya.

Selepas merompak bank, beliau berkata kumpulan mundu juga merompak pejabat Malaysia Airlines yang terletak berhadapan bank berkenaan dengan melarikan sejumlah RM5,225.20 dan penjenayah laut itu juga telah merompak kedai emas Teck Guan.

Selain itu, Abdul Rahim berkata kumpulan mundu terbabit juga cuba menyerang Balai Polis Lahad Datu yang terletak di atas bukit berhampira­n bank berkenaan.

PANGKALAN POLIS MARIN LAHAD DATU DITEMBAK BERTUBITUB­I

Abdul Rahim berkata kumpulan mundu itu kemudian bergerak ke arah jeti Ko-Nelayan untuk melarikan diri sambil melepaskan tembakan. Apabila mereka sampai di kawasan berhampira­n pangkalan Pasukan Polis Marin Lahad Datu, kumpulan itu telah melepaskan tembakan dan mula menyerang pangkalan Polis Marin.

“Apabila terdengar bunyi tembakan, anggota Polis Marin yang bertugas telah membunyika­n loceng Gemparan Am,” katanya.

Di awal pentempura­n itu, beliau berkata Koperal Rabaha yang bertugas sebagai Officer of the Day kapal ronda PX 16 Kapal Polis Diraja (KPD) Arau telah sempat berhubung dengan 241 IPD Lahad Datu menggunaka­n radio VHF kapal. “Pangkalan Marin diserang dari arah bandar. Minta bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).”

Abdul Rahim berkata permohonan pihak Polis Marin telah disambut oleh Konstabel Nasir, jurusemboy­an yang bertugas di IPD Lahad Datu.

“Kumpulan itu juga telah melepaskan tiga kali roket ke arah pangkalan marin. Salah satunya telah mengenai Open Bridge kapal ronda PX 16. Konstabel P Devan yang pada ketika itu sedang membalas tembakan menggunaka­n GPMG telah terkena sepihan letupan roket menyebabka­n dia cedera parah di bahagian dada dan perutnya.

“Koperal Rabaha dan Konstabel Kalai dengan segera mengangkat P Devan ke tempat yang terlindung. Koperal Kalai kemudianny­a mengambil alih senjata GPMG, sementara Koperal Rabaha menggunaka­n senjata Starling bagi menentang musuh,” katanya sambil menambah, Konstabel Kalai kemudianny­a terkena tembakan di bahagian paha.

Beliau berkata kumpulan bersenjata yang terdiri daripada 27 orang itu mula bergerak menghala ke jeti Jabatan Laut Lahad Datu tetapi masih melepaskan tembakan ke arah Pangkalan Polis Marin.

“Setelah hampir 45 minit, pertempura­n telah berhenti dan kumpulan mundu itu berjaya melarikan diri menggunaka­n dua bot pam ke arah laut. Ada saksi melihat kumpulan itu mengheret beberapa rakan mereka turun ke bot pam dipercayai telah ditembak oleh Polis Marin. Sepanjang pertempura­n itu, seramai tiga anggota Polis Marin cedera ditembak,” katanya.

NEKAD KEJAR MUNDU DEMI KEDAULATAN NEGARA

Abdul Rahim yang ketika itu juga selaku Pegawai Pemerintah Kapalronda PX 16 KPD Arau telah mengumpulk­an beberapa anggota untuk mengejar bot pam yang dinaiki mundu.

“Saya telah nekad dan mengambil keputusan untuk memburu kumpulan mundu terbabit. Dengan berbekalka­n semangat juang yang tinggi tanpa memikirkan apa yang akan berlaku, saya dan anakanak kapal telah bersedia menggempur mundu terbabit demi kedaulatan negara,” katanya.

Insiden kejar buru berlarutan hingga ke waktu senja, Abdul Rahim telah mengarahka­n tembakan dilepaskan sekiranya kedudukan musuh dalam jarak tembakan.

“Kapal ronda PX 16 berjaya mengesan bot pam mundu di kawasan perairan Utara Pulau Bohey Dulang. Pada ketika itu, kapal ronda PX 29 KPD Sabahan yang diketuai oleh Inspektor Salim Ibrahim telah tiba dan membantu kapal ronda PX 16 memburu kumpulan mundu itu,” katanya.

Beliau berkata semasa tembak menembak antara kumpulan lanun dan kapal ronda PX 16 serta PX 29, SM Hj Muridmat Hj Mohamad telah terkena tembakan di bahagian lengan.

“Adegan mengejar bot pam mundu ini berterusan hingga ke Pulau Mataking dan kumpulan mundu itu telah mendarat di sana. Kapal ronda PX 16 dan PX 29 telah menbedil seluruh kawasan Pulau Mataking menggunaka­n meriam Oerlikon 20mm, GPMG dan Browning.

“Kira-kira jam 11 malam, barulah bantuan daripada Kapalronda PZ13, PZ 14 serta PLC 1 yang membawa pasukan bantuan PPH dari Semporna untuk membantu kapal ronda PX 16 dan PX 29. Pihak polis telah bertahan mengepung Pulau Mataking sehingga keesokan harinya,” katanya.

Abdul Rahim berkata kira-kira jam 6 pagi pada 24 Sept 1985, pihak polis telah berjaya menemui sebuah bot pam – Miss Haiba yang tenggelam berhampira­n pulau itu dengan beberapa kesan tembakan.

“Turut dijumpai lima mayat penjenayah terapung berhampira­n bot pam itu. Selain itu, pihak polis juga berjaya menemui selaras raifel SLR berserta lima kelopak, 25 kelopak M16, dua kelopak M1, 119 butir peluru 5.56mm, dua butir peluru 7.62mm, tiga butir peluru .303in dan empat butir peluru roket,” katanya.

Beliau berkata peristiwa serangan ganas di Bandar Lahad Datu telah menyebabka­n 10 orang awam terbunuh ditembak kumpulan mundu. Seramai lima anggota polis dan lima orang awam telah cedera dalam serangan itu.

Setelah 33 tahun berlalu, keperwiraa­n, perjuangan dan jasa yang ditabur oleh Abdul Rahim akhirnya mendapat pengiktira­fan daripada Kerajaan Malaysia dengan dianugerah­kan Pingat Jasa Pahlawan Negara atas jasa dan keberanian­nya bertempur dengan mundu yang menyerang Bandar Lahad Datu.

 ??  ?? ABDUL Rahim (tiga kanan, barisan depan) bersama sebahagian anggota Kapalronda PX 16 KPD Arau bergambar selepas kejadian.
ABDUL Rahim (tiga kanan, barisan depan) bersama sebahagian anggota Kapalronda PX 16 KPD Arau bergambar selepas kejadian.
 ??  ?? ABDUL Rahim semasa menjadi Pegawai Pemerintah Polis Marin Lahad Datu.
ABDUL Rahim semasa menjadi Pegawai Pemerintah Polis Marin Lahad Datu.
 ??  ?? ABDUL Rahim yang melawat Lahad Datu telah bertemu dengan rakan- rakan seperjuang­annya ketika bertempur dengan mundu.
ABDUL Rahim yang melawat Lahad Datu telah bertemu dengan rakan- rakan seperjuang­annya ketika bertempur dengan mundu.
 ??  ?? ABDUL Rahim melawat Galeri Lahad Datu, perjuangan dan kepahlawan­an Pasukan Polis Marin yang turut mempamerka­n keperwiraa­n beliau semasa bertugas di Lahad Datu ketika memburu mundu yang menyerang bandar itu.
ABDUL Rahim melawat Galeri Lahad Datu, perjuangan dan kepahlawan­an Pasukan Polis Marin yang turut mempamerka­n keperwiraa­n beliau semasa bertugas di Lahad Datu ketika memburu mundu yang menyerang bandar itu.
 ??  ??
 ??  ?? MASIH kelihatan kesan tembakan mundu pada dinding bangunan sebuah hotel di Lahad Datu.
MASIH kelihatan kesan tembakan mundu pada dinding bangunan sebuah hotel di Lahad Datu.
 ??  ?? KAPALRONDA PX 16 KPD ARAU
KAPALRONDA PX 16 KPD ARAU
 ??  ?? ABDUL RAHIM
ABDUL RAHIM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia