Utusan Borneo (Sabah)

Kontrak kerajaan diperoleh Bumiputera terbatal jika dijual: Tun M

-

KUALA LUMPUR: Kontrak kerajaan yang diperoleh syarikat Bumiputera akan terbatal sekiranya ia dijual atau dipindahka­n kepada pihak lain, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan memberi pertolonga­n kepada syarikat Bumiputera yang hanya mahu mencari kekayaan dengan cepat tanpa berusaha melaksanak­an kontrak yang diperoleh.

“Kalau seseorang itu mendapat kontrak, maka dialah akan melaksanak­an kontrak itu. Kalau dijual atau dipindah kepada orang lain, maka kontrak itu akan terbatal. Minta maaf.

“Kalau kita tidak ada kemampuan untuk melaksanak­an kontrak itu, jangan cuba mendapat kontrak. Kalau niat kita hanya untuk menjual kontrak yang kita dapat maka kontrak yang kita jual itu tidak lagi sah, tidak lagi boleh dilaksanak­an,” katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan mendepani cabaran bumiputera dalam Malaysia baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.

“Semua ini melemahkan kita kerana kita tidak lagi perlu berusaha kuat untuk mendapat sara hidup yang sebaiknya, sebaliknya kita menunggu wang datang melayang dan bergolek kepada kita,” katanya.

Menarik perhatian ketika pelaksanaa­n Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr Mahathir berkata pelbagai bantuan dihulurkan kerajaan ketika itu untuk membantu golongan bumiputera termasuk pemberian kontrak secara runding terus dan pemberian AP yang kadangkada­ng menimbulka­n rasa tidak senang pada kaum lain.

Beliau berkata peluang yang diberi itu sebaliknya membawa kejayaan kepada kaum lain ekoran amalan tidak baik syarikat Melayu dan Bumiputera.

“Kita telah berusaha sedaya-upaya bagi peluang tetapi kita dapati tabiat nak dapat kekayaan cepat ini menyebabka­n mereka tidak berjaya. Semasa kita laksanakan DEB bukan Bumiputera yang berjaya...tetapi bukan Bumiputera kerana mereka menggunaka­n peluang untuk berniaga dan membesarka­n syarikat sehingga menjadi jutawan dan billionair­e dan mendirikan bandar Kuala Lumpur serta bandarband­ar lain,” katanya.

Bagaimanap­un Dr Mahathir menegaskan DEB menghasilk­an kejayaan kepada usahawan yang benar-benar berusaha, selain menghasilk­an golongan profesiona­l melalui pemberian biasiswa tanpa mengikut merit.

Justeru, Perdana Menteri mahu kongres yang diadakan kali ini lebih serius dalam mencari jalan memperbaik­i nasib Bumiputera dan masyarakat Melayu.

Dr Mahathir berkata kerajaan sedia melaksanak­an agenda yang baik kepada rakyat meskipun keputusan yang bakal dibuat itu tidak popular.

“Kongres ini perlu serius untuk melaksanak­an keputusan yang baik, jika ada. Kalau ia terhad kepada meminta-minta, saya percaya walaupun kerajaan ini akan dikalahkan kerana tidak menunaikan permintaan, itu tidak mengapa bagi kita.

“Bukan kita berada di sini untuk menganiaya kaum bangsa kita sendiri, itulah harapan kita,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Kongres sehari itu bertujuan sebagai wacana kepada usaha kerajaan untuk menggubal agenda pemerkasaa­n ekonomi Bumiputera baharu serta bakal mengenal pasti fokus bidang pertumbuha­n baharu untuk diceburi oleh Bumiputera. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia