Utusan Borneo (Sabah)

UMP bantu pelajar kurang berkemampu­an lanjut pelajaran

-

KUANTAN: Kegusaran seorang buruh dari Bagan Datuk, Perak tentang kos logistik yang perlu dikeluarka­n untuk mendaftark­an anak sulungnya mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, terurai selepas universiti itu tampil memberikan bantuan.

R.Subramania­m, 51 berkata mereka sekeluarga pada awalnya bercadang menyewa teksi bagi menghantar S. Pavithraan, 19 ke UMP Kampus Gambang.

“Kos pergi balik dijangka lebih RM500 dan ini satu jumlah yang besar untuk keluarga kami, namun nasib baik pihak UMP ada menghantar wakil yang menjemput kami menggunaka­n van.

“Malah kami turut diberikan kemudahan penginapan di rumah tamu UMP di Kampus Gambang selain disediakan makan minum untuk urusan pendaftara­n pada hari ini.

“Semua bantuan ini dapat meringanka­n beban kami dalam urusan pendaftara­n ini selain kami berpeluang menyaksika­n sendiri anak melanjutka­n pelajaran dan tempat belajar anak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pavithraan yang akan mengikuti pengajian dalam bidang kejurutera­an kimia merasa terharu dengan keprihatin­an dan bantuan yang diberikan oleh UMP kepadanya sekeluarga.

“Ini pertama kali saya mendengar pihak universiti ada memberikan bantuan pengangkut­an dan bantuan lain untuk pelajar mendaftar yang pastinya dapat meringanka­n beban keluarga susah seperti kami.

“Pihak UMP juga ada memberikan insentif kecemerlan­gan berjumlah RM1,000 dan ini membakar semangat saya untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarga pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata bantuan menguruska­n kemasukan pelajar ke universiti termasuk pengangkut­an kepada keluarga pelajar yang kurang berkemampu­an adalah selaras dengan inisiatif MyGift UMP.

“Inisiatif MyGift ini terhasil daripada sumbangan badan korporat dan orang ramai yang kita kembalikan semula kepada pelajar kurang berkemampu­an dalam usaha membangun dan memperkasa institusi pendidikan.

“Seramai 13 penerima Anugerah Kecemerlan­gan MyGift yang mendapat keputusan cemerlang dipilih oleh panel UMP dan enam lagi pelajar kurang berkemampu­an menerima Insentif Pendidikan yang masing-masing berjumlah RM1,000 setiap seorang,” katanya.

Pada Ahad seramai 2, 468 pelajar baharu mendaftar di UMP Kampus Gambang dan Kuantan yang menawarkan 29 program peringkat ijazah sarjana muda. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia