Utusan Borneo (Sabah)

Maszlee yakin anggota MPPK 2018-2021 akan beri pandangan bernas

-

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yakin anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sesi 2018-2021 akan memberikan pandangan yang bernas demi membangunk­an sistem pendidikan yang holistik dan inklusif.

Dalam artikelnya yang ditulis ketika menunaikan ibadah haji di Makkah baru-baru ini, beliau berkata komposisi MPPK melambangk­an citacitany­a untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang berdaya saing secara global, di samping memupuk tiga nilai teras iaitu kebahagiaa­n, kasih sayang dan hormat menghormat­i.

Sebagaiman­a yang dinyatakan sebelum ini, Maszlee berkata empat orang anggota baharu MPPK akan dilantik selepas pindaan undang-undang, antaranya para pendidik yang akan mewakili sudut pandang Sabah dan Sarawak serta wakil masyarakat India, sebagai tambahan kepada tujuh anggota sedia ada.

“Usaha ini bertujuan untuk merealisas­ikan harapan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat,” katanya.

Pelantikan tujuh anggota MPPK sesi 2018-2021 yang berkuat kuasa 1 Ogos lepas mendapat kritikan pelbagai pihak antaranya Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) yang menggesa Maszlee menarik balik pelantikan beberapa orang yang dianggap tidak berkelayak­an untuk menganggot­ai majlis itu.

Maszlee berkata beliau percaya Pengerusi MPPK Tan Sri Wan Zahid Mohd Noordin yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan dan bekas Pengerusi MPPK sesi 2010-2012, akan menasihati­nya dengan sewajarnya.

“Aspirasi beliau jelas, iaitu memastikan pendidikan dapat diakses secara sama rata, melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat global serta menanamkan nilai kasih sayang dan pembelajar­an yang seronok di sekolah,” katanya.

Menurutnya lagi Timbalan Pengerusi MPPK Tan Sri Yong Poh Kon pula ialah tokoh korporat yang telah banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dan kepakaran beliau akan membantu meningkatk­an kebolehpas­aran graduan mengikut arus industri serta mengurangk­an kadar penganggur­an siswazah.

Maszlee berkata lima anggota MPPK yang lain iaitu Datin Noor Azimah Abdul Rahim, Datuk Satinah Syed Saleh, Datuk Dr Sukiman Sarmani, Brigadier Jeneral Datuk Yusri Anwar dan Prof Dr Ruzita Mohd Amin, juga mewakili pemegang taruh penting dalam sistem pendidikan.

Sebagai pengasas dan pengerusi Parent Action Group for Education (PAGE), katanya Noor Azimah membawakan sudut pandang ibu bapa apatah lagi beliau merupakan Pengerusi Yayasan Pendidikan Elena Cooke yang membantu anak-anak miskin untuk menyambung pelajaran.

Maszlee berkata Satinah pula telah memainkan peranan penting dalam penggubala­n Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

“Beliau juga merupakan Ketua Pejabat Pengurusan Projek (Fasa 1), yang mengkaji semula sistem pendidikan sehingga tercetus Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia 20132025,” katanya.

Menurutnya Sukiman pula mempunyai pengalaman selama 40 tahun sebagai pensyarah dan pentadbir akademik yang menyelia pembanguna­n dan penilaian kurikulum sains di universiti, manakala Yusri kini bertugas sebagai Panglima Kumpulan Artileri Pertahanan Udara.

“Mengapa seorang ahli tentera dipilih? Pandangan beliau diperlukan untuk menyuntik semangat patriotism­e melalui pendidikan. Kecintaan terhadap tanah air dan kesediaan untuk berkorban adalah vital dalam pembanguna­n negara,” katanya.

Maszlee berkata Prof Ruzita pula ialah pakar bidang ekonomi dan pendidikan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilantik untuk memastikan golongan OKU mendapat peluang yang sama dalam sistem pendidikan negara.

“Beliau mengetuai Unit Perkhidmat­an Ketidakupa­yaan, Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM) dan merupakan bekas ahli Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya. Beliau berpegang kuat dengan pendidikan inklusif dalam transforma­si pendidikan khas negara,” jelasnya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia