Utusan Borneo (Sabah)

IPay88 rancang perluas operasi ke Sri Lanka, Laos, Mauritius

-

KUALA LUMPUR: iPay88, gerbang pembayaran terkemuka di Asia Tenggara, bercadang mengembang­kan operasinya ke Sri Lanka, Laos dan Mauritius menjelang akhir tahun depan, demikian menurut Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutifn­ya, Chan Kok Long.

Katanya, syarikat tempatan itu menyasarka­n tiga negara berkenaan berikutan faktor lokasi dan populasiny­a.

“Mauritius adalah gerbang ke negara-negara Afrika dan kami sedang dalam perbincang­an mengenai Laos dan Nepal.

“Negara-negara ini adalah pendatang baru dalam e-dagang dan mereka menerima dengan terbuka pendigital­an, khususnya perniagaan tempatan. Ia adalah petanda baik kerana pada masa depan adalah mengenai perniagaan secara dalam talian, teknologi dan pembayaran autonomi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

iPay88 menyediaka­n penyelesai­an kutipan pembayaran dalam talian utama di ASEAN dan bertapak di lapan negara termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia.

Ketika ini syarikat itu mempunyai lebih 30,000 peniaga berdaftar di bawahnya, yang merekodkan transaksi jualan bernilai RM6.6 bilion tahun lepas.

Sementara itu, Chan berkata di sebalik rancangan agresifnya untuk meneroka negara lain, syarikat teknologi itu berdepan masalah kekurangan pekerja, terutamany­a dalam bidang teknikal.

“Ini adalah cabaran yang besar, bukan sahaja kepada kami, tetapi juga syarikat teknologi lain. Kami sentiasa mencari kakitangan dan bercadang menarik minat mereka untuk bekerja menerusi insentif tertentu,” katanya.

Ketika ini, iPay88 bekerjasam­a dengan Universiti Gadjah Mada di Indonesia dan Universiti Malaysia Sarawak untuk mencari pekerja dengan kemahiran yang diperlukan.

“Akan datang, kami berminat untuk bekerjasam­a dengan lebih banyak universiti seperti Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Tun Abdul Razak,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia