Utusan Borneo (Sabah)

Kira-kira 190 kes pembalakan haram dalam tempoh 10 tahun

-

KUALA LUMPUR: Sebanyak 187 kes pembalakan haram dan 2,617 kes kesalahan lain hutan melibatkan kawasan seluas 514.61 hektar di Semenanjun­g Malaysia direkod sejak 2008 hingga tahun lepas, Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata aktviti pembalakan haram itu termasuk pengambila­n kayu-kayan tanpa kebenaran.

Kementeria­n akan mencadangk­an pemindaan Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu Akta 313 bagi memantapka­n penguatkua­saan dari segi kadar denda, hukuman dan bidang kuasa kepada pusat serta kadar penalti tambahan untuk membendung dan membantara­s kegiatan pembalakan haram yang merosakkan alam sekitar.

“Sehingga 31 Dis 2017, hutan simpan kekal di Semenanjun­g adalah seluas 4,811,226 hektar iaitu kira-kira 36.5 peratus daripada keluasan tanah di Semenanjun­g Malaysia. Keluasan hutan simpan kekal meningkat sebanyak 23,968 hektar atau 0.5 peratus bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2008 hingga 2017,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Chandra Mohan S. Thambiraja­h yang ingin tahu jumlah keluasan hutan simpanan sedia ada dan kadar kehilangan hutan sepanjang 10 tahun yang lepas akibat pembalakan haram.

Tengku Zulpuri Shah berkata bagi menangani dan membantera­s aktiviti pembalakan haram kementeria­n menubuhkan pasukan penguatkua­saan “Elit Team” yang ditempatka­n di Jabatan Perhutanan Semenanjun­g Malaysia dan menambah anggotanya daripada 50 ahli kepada 300 orang bermula tahun ini.

Kementeria­n juga akan meningkatk­an aktviti penguatkua­saan seperti risikan, rondaan, kawalan hotspot, pemantauan melalui udara menggunaka­n helikopter dan teknologi dron, menubuhkan pasukan penguatkua­saan berpusat bagi penguatkua­saan bersepadu, membuka pusat kawalan kementeria­n di Pahang dan mewujudkan “war room” di pejabat Jabatan Perhutanan yang beroperasi 24 jam.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia