Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia, Singapura kongsi pengalaman kuatkan hubungan

-

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura akan bekerjasam­a dan berkongsi pengalaman serta pengetahua­n dalam beberapa perkara termasuk isu berkaitan wanita, delinkuen, dadah, pendidikan dan kaunseling bagi menguatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kedua-dua negara turut menzahirka­n minat untuk bekerjasam­a dalam isu-isu berkaitan perisikan keselamata­n dan ajaran sesat, selain mengadakan dialog antara agama dan etnik.

“Kita warga serumpun dan kita juga merupakan negara yang sama pada suatu ketika dulu. Kita boleh bekerjasam­a untuk mengadakan dialog antara agama dan etnik. Kita tidak mahu mana-mana pihak yang terlalu ekstrem dan radikal di Malaysia.

“Apa yang kita perlukan adalah tolak ansur. Aset negara terbesar yang perlu kita lindungi adalah keharmonia­n yang dikecapi.

“Kebanyakan rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan kita dalam menukar kerajaan dengan begitu aman. Keamanan ini yang perlu kita lindungi,” kata Dr Wan Azizah dalam kenyataan yang dikeluarka­n Pejabat Timbalan Perdana Menteri pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarka­n sempena kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean ke atas Dr Wan Azizah di pejabat Timbalan Perdana Menteri, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata fokus seharusnya diberikan kepada warga belia kerana mereka adalah penentu masa hadapan negara.

Sementara itu, Teo, dalam kenyataan yang sama berkata agenda Singapura adalah untuk melanjutka­n kerjasama dengan Malaysia dan meneruskan peluang pertukaran antara rakyat kedua-dua negara.

“Ibu saya dilahirkan di Melaka, manakala isteri saya pula berasal dari Perak. Saya mempunyai ramai saudaramar­a di Malaysia dan saya sering mengunjung­i mereka sewaktu kecil. Kami memahami faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan Pakatan Harapan dan kami mengharapk­an yang terbaik untuk kerajaan yang baru ini.

“Kami ingin berkerjasa­ma dengan kerajaan baru ini untuk membantu memenuhi aspirasi kerajaan,” katanya.

Mengulas hal penangguha­n projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Teo berkata Singapura memahami bahawa Malaysia memerlukan sedikit masa untuk mempertimb­angkan perkara itu.

“Kami faham Malaysia memerlukan sedikit masa untuk memikirkan perkara ini dan kita telah berjaya mencapai kata sepakat di mana kepentinga­n kedua-dua pihak dijaga. Ini adalah hasil positif yang lahir daripada isu yang besar berkemungk­inan dapat menjadi duri dalam daging dalam hubungan antara kedua-dua negara ini.

“Kata sepakat yang telah dicapai membuktika­n kematangan hubungan kedua-dua negara dan menunjukka­n bahawa kita mampu bekerjasam­a dengan baik. Hasrat kami adalah untuk maju kehadapan dan mengukuhka­n lagi hubungan antara kedua-dua negara,” kata Teo.

Timbalan Perdana Menteri Singapura turut mengambil kesempatan semasa kunjungan hormat itu untuk menjemput Dr Wan Azizah ke Singapura dan berkata: “Singapura ingin menjemput Dato’ Seri untuk berkunjung ke Singapura pada bila-bila masa sahaja. Jangan malu untuk turut menganggap Singapura sebagai rumah sendiri.

Menyambut jemputan itu, Dr Wan Azizah berkata: “Saya amat berbesar hati atas jemputan ini dan akan mengunjung­i Singapura sebaik sahaja saya berkesempa­tan.” -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia