Utusan Borneo (Sabah)

Nurul Izzah gesa ahli PKR terus setia dengan perjuangan parti

-

KUCHING: Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar menggesa ahli-ahli PKR supaya terus setia dengan perjuangan parti.

Gesaan tersebut dibuat oleh Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika berucap di hadapan ahli-ahli serta penyokong parti tersebut pada Program Hi-Tea di Kota Samarahan, semalam.

Tegas Nurul Izzah, perjuangan PKR yang dimulakan oleh bapanya sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 bukan demi kepentinga­n Anwar semata-mata.

Tetapi katanya, perjuangan PKR adalah bagi menghapusk­an perbuatan rasuah serta salah guna kuasa oleh pemimpin yang memberi kesan kepada rakyat.

“Hasil khazanah yang dimiliki oleh negara kita bukan kepunyaan sesiapa, tetapi amanah daripada rakyat yang harus dijaga sebaiknya oleh pemimpin untuk membantu rakyat.

“Justeru, ahli-ahli PKR harus berani memperjuan­gkan mereka yang tertindas kerana kita mahu PKR menjadi parti kalis masa depan dan kekal selamanya,” katanya.

Kedatangan Nurul Izzah semalam adalah sebahagian daripada kempennya sempena pemilihan PKR yang akan datang.

Selain Nurul Izzah, program semalam turut dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang turut bertanding bagi ahli Majlis Pemimpin Pusat (MPP) PKR.

Calon Ketua PKR Cabang Samarahan Datuk Dr Ir Irwan Ahmad Nor dan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang yang juga calon bagi Ketua PKR Cabang Lubok Antu turut hadir pada program tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia