Utusan Borneo (Sabah)

Disangka monyet, warga emas panjat pokok dabai cedera ditembak

-

KAPIT: Seorang lelaki warga emas yang sedang memanjat pokok dabai cedera ditembak selepas disangka monyet oleh seorang pemburu di kawasan hutan Kampung Balan, Jalan Melekun, dekat sini pada petang Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 5.40 petang itu, mangsa, 60an, mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat terkena peluru senapang patah.

Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian berkata, pengadu (suspek), 60-an, sendiri menghantar mangsa ke Hospital Kapit untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kapit.

“Mangsa cedera di bahagian punggung, siku kiri, belakang badan kiri dan bawah paha kanan akibat tembakan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Freddy berkata, pengadu tidak perasan mangsa yang berada di atas pokok dabai itu adalah rakan sekampung, sebaliknya memikirkan ia seekor monyet.

Bagaimanap­un katanya, mangsa kini sedang menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Freddy berkata, senapang patah serta lesen senapang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahunataud­endatidakm­elebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Tambahnya, senapang patah itu bukan milik suspek dan pemilik senapang patah boleh dituduh di bawah Seksyen 8(b) Akta Senjata Api 1960 kerana melanggar syarat permit iaitu membenarka­n orang lain menggunaka­n senapang patahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia