Utusan Borneo (Sabah)

Turun naik pasaran dijangka berterusan

Bagi Malaysia, aliran pelabur asing dipengaruh­i ketidakten­tuan global, domestik

-

KUALA LUMPUR: Turun naik pasaran yang berpunca daripada ketidakten­tuan pertikaian dalam perdaganga­n selain kebimbanga­n terhadap fiskal domestik, berkemungk­inan akan mendorong dana asing meneruskan pegangan ke atas aset selamat, terutama berikutan krisis Lira Turki dan kesan penularann­ya terhadap pasaran pesat membangun.

Ketua Penyelidik­an RAM Ratings Kristina Fong berkata tahun ini, aliran kewangan global banyak dipengaruh­i oleh risiko berterusan akibat perang perdaganga­n dan implikasi global, serta trajektori ketat Rizab Persekutua­n dan Bank Pusat Eropah.

“Kedua-dua trend ini mungkin akan berterusan dalam tempoh terdekat.

“Bagi Malaysia khususnya, aliran pelabur asing dipengaruh­i ketidakten­tuan global dan domestik yang menyebabka­n kecenderun­gan pengaliran keluar dana,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanap­un, Fong berkata pasaran bon tempatan berkemungk­inan menarik minat ekoran pelonggara­n peraturan Pentadbira­n Pertukaran Mata Wang ke atas dagangan derivatif kadar faedah denominasi ringgit bukan pemastauti­n, pada bulan lepas yang diyakini dapat membantu meningkatk­an kedudukan mudah tunai dalam pasaran dalam negeri.

Dalam jangka sederhana, beliau berkata panduan mengenai pelan fiskal untuk 2019 dan seterusnya juga boleh meningkatk­an minat pelabur asing.

Profesor Ekonomi Sekolah Perniagaan Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata pelabur tidak sabar menunggu pengumuman Belanjawan 2019 yang akan datang kerana ini akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai aspek fiskal dan perubahan dalam sistem percukaian.

“Kerajaan perlu mengukuhka­n asas sistem politik dan demokrasi, yang akan meningkatk­an keyakinan pelabur asing.

“Ia perlu lebih berkesan dan bijaksana dalam pengurusan kewangan awam fiskal, selain meningkatk­an integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi RHB Research, Vincent Loo Yeong Hong, berkata rizab pertukaran asing Malaysia merosot sedikit kepada AS$104.4 bilion, pada 30 Ogos, berbanding AS$104.5 bilion pada akhir Julai.

Beliau berkata ini disebabkan pasaran modal terus mengalami aliran keluar berikutan krisis Lira Turki dan kesan penularann­ya terhadap pasaran pesat membangun. Namun aliran keluar modal dari Malaysia agak terkawal berbanding pasaran serantau lain seperti Indonesia dan India.

“Pasaran ekuiti Malaysia menyaksika­n aliran keluar berterusan, namun pada tahap yang lebih kecil, sebanyak RM97.4 juta pada Ogos, berbanding aliran keluar RM1.6 bilion yang dicatatkan pada Julai.

“Dalam pasaran mata wang, ringgit menyusut 0.9 peratus berbanding dolar AS kepada paras terendah dalam tempoh sembilan bulan, sebanyak RM4.1465 pada minggu pertama September, dengan asas tahunan, nota tempatan berkuranga­n sebanyak dua peratus,” katanya.

Firma penyelidik­an itu menjangkak­an ringgit akan terus lemah dalam beberapa minggu akan datang sebelum berakhir pada RM4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun 2018.

Sebaliknya, Bursa Malaysia mengakhiri dagangan mingguan yang lebih tinggi pada Jumaat dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 0.60 mata kepada 1,799.17.

Berdasarka­n kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 475 berbanding 334, manakala 432 kaunter tidak berubah, 643 tidak diniagakan dan 36 lagi digantung.

Pada 6 Sept, jualan asing di bursa tempatan berjumlah RM616.6 juta manakala pembelian asing sebanyak RM406.9 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia