Malaysia tawar ruang untuk ekonomi perkongsian berkembang
GEORGE TOWN: Malaysia mampu menawarkan banyak ruang bagi mengembangkan perkongsian ekonomi menerusi kehadiran Grab, AirBnB dan FoodPanda, dengan sektor itu semakin penting dalam ekonomi secara menyeluruh, dalam era digital.
April Rinne penasihat bebas bagi Forum Ekonomi Dunia berkata kemunculan ekonomi perkongsian moden akan mewujudkan sumber pendapatan baharu dengan memanfaatkan aset yang tidak digunakan negara dan teknologi hari ini.
Beliau berkata dengan menggunakan aset yang kurang dimanfaatkan oleh individu secara berkesan, terutama yang mempunyai kos tinggi dan kekerapan penggunaan yang rendah seperti kenderaan, peralatan bertenaga, bilik , malah pakaian bayi, bukan sahaja dapat menjana pendapatan tambahan menerusi perkongsian dengan mereka yang memerlukan, malah jika dilakukan dengan betul, membangunkan komuniti dari aspek nilai sosial melalui rangkaian tidak berpusat menggunakan platform aplikasi dalam talian atau mudah alih.
“Orang biasa menggunakan gerudi kuasa sekitar 16 minit dalam kehidupan mereka, dan tinggal terbiar seolaholah barangan buangan, dari segi penggunaan dan wang.
“Sebaliknya, jika ia menjadi aset yang dikongsi, bukan sahaja ia boleh digunakan dengan lebih cekap, malah menjimatkan kos dan memperoleh pendapatan tambahan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Ekonomi perkongsian merupakan satu ekosistem sosial berteraskan perkongsian aset yang menggunakan platform digital untuk mewujudkan nilai ekonomi melalui peningkatan penggunaan sumber di antara individu, perniagaan dan kerajaan.
Rinne berkata Malaysia telah melakukan proses yang agak baik dari segi perkongsian ekonomi, namun ia boleh ditambah baik.
Beliau mencadangkan pem- impin menetapkan definisi ekonomi perkongsian dan berusaha merealisasikannya.
Definisi perkongsian ekonomi berbeza dari satu negara ke negara lain, dan berasaskan kepada manfaat yang mereka mahukan. Tiga pemacu umum utama itu ialah ekonomi, alam sekitar dan sosial.
Sweden, contohnya, memberi tumpuan kepada aspek alam sekitar dalam perkongsian ekonomi, jadi perniagaan mereka memberi keutamaan kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.
Bagaimanapun, Pengarah Ekonomi Digital Malaysia Corporation (MDEC) Darzy Norhalim, peningkatan perniagaan perkongsian ekonomi jelas memberi manfaat kepada pengguna untuk keselesaan dan kemudahannya, malah telah mewujudkan perselisihan dalam kalangan industri perniagaan tradisional dan sektor kerajaan
Antara pertikaian itu ialah pemandu teksi tempatan memprotes syarikat perkongsian perjalanan, dan wujud kebimbangan jika syarikat perkongsian rumah seperti AirBnb, merosakkan industri hotel.
Namun Darzy menyatakan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk membentuk rangka kerja peraturan untuk berkongsi ekonomi perniagaan untuk berada kedudukan yang setara dengan perniagaan tradisional.
Beliau berkata perniagaan ekonomi perkongsian tidak menjejaskan industri tradisional, malah membantu mendapatkan lebih banyak peluang perniagaan dalam gambaran ekonomi secara menyeluruh.
“Perniagaan ekonomi perkongsian telah mewujudkan kesedaran mengenai perlunya perkhidmatan dalam pelbagai jabatan seperti pelancongan dan logistik, selagi gus lebih ramai orang akan terlibat dalam sektor masing-masing, permintaan juga akan meningkat, yang juga memberikan impak positif ke atas perniagaan tradisional,” katanya. — Bernama