Utusan Borneo (Sabah)

Wong mulakan tugas sebagai Adun Balakong

-

BALAKONG: Baru sahaja diumumkan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada Sabtu, Wong Siew Ki tanpa membuang masa mula membuat perancanga­n untuk menyelesai­kan permasalah­an penduduk dalam kawasan DUN itu.

Antara yang menjadi tumpuan beliau adalah berkenaan kampung baru, yang bagi beliau memerlukan tindakan segera dalam kerja-kerja menaik taraf infrastruk­tur yang telah lama tertangguh.

Wong, 32, berkata kerja-kerja menaik taraf itu akan diteruskan segera dengan kerjasama Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) dan pihaknya telah mengenal pasti projekproj­ek terlibat menerusi maklum balas daripada penduduk dan ketua kampung sepanjang tempoh berkempen.

“Bukan itu sahaja, dokumen yang merangkumi projek yang diuruskan mendiang Eddie (Ng) (bekas Adun Balakong) sebelum ini akan kami ‘follow up’ selepas ini dengan kerjasama ketuaketua kampung baru di sekitar DUN ini,” katanya kepada pemberita selepas ‘walkabout’ penghargaa­n kepada para pengundi di sini, pada Ahad.

Katanya isu-isu tempatan seperti projek pembentung­an dan pembaikan jalan perlu diteruskan segera bagi keselesaan penduduk.

“Sistem Pemindahan Pembentung­an bersama MMC Corporatio­n Berhad (MMC) yang sebelum ini telah tertangguh akan dimulakan secepat mungkin kerana ia melibatkan kawasan di bawah DUN Balakong.

“Saya tidak mahu menghampak­an penduduk, ketika berkempen mereka menyampaik­an hasrat mahu saya membantu mereka menyelesai­kan masalah banjir kilat dan jalan berlubang dan kami akan menunaikan janji seperti mana manifesto kami pada PRK ini,” katanya.

PRK DUN Balakong menyaksika­n Wong menang dengan majoriti 18,533 undi apabila meraih 22,508 berbanding Tan yang hanya menerima 3,975 undi.

PRK itu diadakan berikutan kematian Ng dalam nahas jalan raya pada 20 Julai lepas.

?Pada pilihan raya umum Mei lepas, mendiang Ng menewaskan calon Barisan Nasional Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (Pas) dengan majoriti 35,538 undi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia