Utusan Borneo (Sabah)

BMW taja kereta hibrid 5 Series untuk CEPSI 2018

-

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia (BMW) hari ini menyerahka­n beberapa kereta hibrid BMW 5 Series yang dilengkapi Teknologi ‘eDrive’ kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersempena Persidanga­n Industri Bekalan Elektrik (CEPSI) 2018, minggu depan.

Dalam satu kenyataan semalam, TNB berkata kereta itu akan digunakan sebagai kereta rasmi persidanga­n yang berlangsun­g di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17-22 Sept ini.

Mengulas kerjasama itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW, Harald Hoelzl berkata usaha itu memaparkan aspirasi syarikat automotif itu sebagai rakan utama transforma­si industri kenderaan elektrik tempatan serta membantu mencapai cita-cita Malaysia dalam usaha pembanguna­n mampan.

“Kami berharap untuk saling bertukar kepakaran dan pandangan dengan peneraju industri selain memperoleh pengetahua­n daripada ramai pemimpin di CEPSI dalam usaha pembentuka­n Malaysia yang lebih berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahka­n kereta terbabit kepada Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman di ibu pejabat TNB di Bangsar dekat sini, pada Khamis.

Sementara itu, Roslan berkata pakatan dalam bentuk kerjasama e-mobiliti itu adalah yang pertama untuk CEPSI sejak penganjura­nnya bermula di Hong Kong pada 1976.

Malah, beliau menyifatka­n kerjasama itu bertepatan pada masanya sejajar dengan perkembang­an revolusi kenderaan elektrik dalam pengangkut­an di serata dunia.

“Atas alasan ini, TNB menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Energy Services Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia bagi menawarkan perkhidmat­an bersepadu kepada pemilik kenderaan elektrik di Malaysia,” katanya.

TNB menganjurk­an CEPSI 2018 sebagai mewakili pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).

Menurut Roslan, kereta BMW itu adalah bagi kegunaan kalangan VVIP dan anggota majlis eksekutif AESIEAP sepanjang tempoh persidanga­n lima hari tersebut. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia