Komposer ‘Mission: Impossible’ terima anugerah Oscar kehormat

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

KOMPOSER dari Argentina, Lalo Schifrin, paling terkenal kerana lagu temanya untuk ‘Mission: Impossible’, akan menerima anugerah Oscar kehormat bersama aktres Cicely Tyson dan pegawai seranta Marvin Levy, kata Akademi itu baru-baru ini.

Turut diberi penghormatan di majlis Anugerah Gabenor Tahunan Ke-10 pada 18 November nanti di Hollywood adalah dua orang penerbit, Kathleen Kennedy dan Frank Marshall, yang sudah berumahtangga dan akan menerima Anugerah Irving G. Thalberg, yang dinamakan sempena seorang eksekutif studio legenda, kata Akademi itu.

“Memilih penerima penghormatan bagi anugerahnya setiap tahun merupakan kerja yang paling menggembirakan bagi Lembaga Gabenor,” John Bailey, presiden ‘Academy of Motion Picture Arts and Sciences’, yang memberi anugerah Oscar, menyebut dalam satu kenyataan.

“Dan pada tahun ini, pemilihan lima artis ikonik telah dibuat dengan sanjungan sejagat oleh 54 gabenor Akademi yang bersemangat,” ujarnya.

Levy, pegawai seranta pertama dalam sejarah untuk menerima anugerah kehormat Oscar, sudah lama bekerja dengan Steven Spielberg dan menerajui kempen pengiklanan bagi filem seperti ‘Kramer vs. Kramer’, ‘Close Encounters of the Third Kind’ dan ‘Schindler’s List’.

Tyson, 93, yang memulakan kariernya sebagai seorang model sebelum dia beralih kepada bidang lakonan, dicalonkan untuk Anugerah Akademi bagi lakonannya dalam filem ‘Sounder’ pada 1972. Filemnya yang lain termasuk ‘Fried Green Tomatoes’ dan ‘The Help’.

Schifrin, 86, yang telah menulis skor (muzik) untuk lebih 100 buah filem, termasuk ‘Bullit’ dan ‘Dirty Harry’, mungkin paling terkenal kerana tema yang dia tulis untuk siri televisyen ‘Mission: Impossible’ yang turut menjadi ciri bagi filemfilem yang menyusul.

Kennedy, yang bertanggungjawab ke atas filemfilem ‘Star Wars’ terbaharu di Disney, merupakan wanita pertama yang menerima anugerah Thalberg, yang kali terakhir diberikan oleh Akademi pada 2009 kepada Francis Ford Coppola.

Dia dan suaminya sudah sama-sama menerbitkan beberapa buah filem termasuk ‘The Sixth Sense’ dan ‘The Curious Case of Benjamin Button’.

Anugerah kehormat Oscar diberikan setiap tahun “untuk memberi penghormatan kepada

kecemerlangan luar biasa dalam pencapaian sepanjang hayat, sumbangan luar biasa kepada keadaan sains dan seni perfileman, atau bagi perkhidmatan cemerlang kepada Akademi”.

Anugerah Gabenor diwujudkan sebagai satu acara berasingan pada 2009 untuk memberi lebih banyak ruang kepada penerima penghormatan untuk menerima anugerah mereka dan mengurangkan kesibukan dalam jadual padat anugerah berkenaan. — AFP

GAMBAR fail bertarikh 23 April, 2018 ini menunjukkan komposer Lalo Schifrin semasa malam pembukaan COLCOA (City of Lights, City of Angels) French Film Festival di Los Angeles, California. — Gambar AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.