Remaja terbunuh setelah letupan gas gegar tiga pekan di AS
NEW YORK: Seorang remaja telah terkorban dan 25 penduduk tercedera selepas satu siri letupan gas dan kebakaran menggegarkan tiga pekan AS di utara Boston, menurut kerajaan negeri.
Pihak polis Massachusetts menyatakan mereka telah memberikan respons kepada 70 laporan kebakaran, letupan dan bau gas yang bermula pada tengah hari Khamis dan mencetuskan pemindahan beramai-ramai di sekitar pekan pantai timur di Lawrence, Andover dan Andover Utara.
“Insiden tersebut telah menimbulkan keadaan traumatik,” menurut Gabenor Charlie Baker pada lewat Khamis, turut mengesahkan bersama dengan beberapa pegawai lain bahawa seorang remaja telah terkorban dalam sebuah kereta ketika sebuah serombong jatuh menimpanya.
Kira-kira 8,600 rumah telah terjejas secara langsung, menurut syarikat utiliti tempatan Columbia Gas, yang menyatakan “kami sedang memberikan tumpuan bagi
memberikan sebanyak-banyak bantuan yang termampu kepada pelanggan kami, penduduk dan komuniti,” dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.
Beberapa gambar di dalam televisyen tempatan menunjukkan dua rumah yang telah musnah dan beberapa lagi
terbakar, termasuk beberapa kenderaan kecemasan yang berada di atas jalan raya.
“Tumpuan masih lagi terhadap memastikan keselamatan umum,” menurut Baker. “Sebaik sahaja itu selesai, kami akan bekerja dengan pihak kerajaan persekutuan dan pihak lain untuk menyiasat
bagaimana kejadian ini boleh berlaku serta menahan pihak sepatutnya yang bertanggungjawab bagi kesalahan mereka.”
Columbia Gas kemungkinan akan menjadi tumpuan bagi siasatan. Datuk Bandar Andover Utara Andrew Maylor menyatakan di dalam
Twitter semalaman bahawa insiden “yang tidak dijangkakan” adalah berpunca dari “tekanan yang melampau pada saluran gas” di tiga bandar.
Beberapa sekolah, mahkamah dan banyak perkhidmatan awam yang masih lagi ditutup kelmarin. — AFP