Utusan Borneo (Sabah)

Skuad bola sepak Sabah ke separuh akhir

Singkirkan Pahang 7-6 menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir

- Oleh VITALIS G. BINGKASAN

KOTA KINABALU: Sabah melangkah ke separuh akhir selepas menyingkir­kan Pahang pada perlawanan suku akhir yang penuh dramatik acara bola sepak Sukma XIX Perak di Stadium TLDM, Lumut pada Sabtu.

Perlawanan itu berlarutan ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada sepenuh masa permainan dan masa tambahan dan Sabah keluar sebagai pemenang dengan kemenangan 7-6.

Separuh masa pertama Sabah ketinggala­n 2-0 hasil jaringan Mohd Faisal Abdul Halim seawal minit kelima dan Muhammad Jadulhaq Sairul Fauzi pada minit ke-23.

Sabah bagaimanap­un memadamkan keresahan awal itu apabila berjaya mengejar untuk menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan dalam tempoh lima minit oleh Hamran Peter (m63) dan Stanley Sulong (m67).

Pada minit ke-75 giliran Sabah berada 3-2 di hadapan hasil jaringan Hamran dan berpeluang mengukuhka­n kedudukan apabila dihadiahka­n sepakan penalti pada minitt ke82 selepas penjaring tiga gol Sabah pada dua perlawanan sebelum ini, Ariusdius Jais dikasari di dalam kotak penalti.

Mohd Aidil Safee yang ditugas mengambil sepakan itu bagaimanap­un gagal menyempurn­akannya apabila sepakannya dibaca tepat penjaga gol Pahang.

Kem Sabah yang menanti wisel penamat untuk meraikan kemenangan juga tergamam apabila Pahang menyamakan kedudukan 3-3 menerusi Muhammad Badrul Amin Jesmi pada masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan bagaimanap­un gagal menambah jaringan dalam masa tambahan 30 minit itu untuk perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti yang turut berlangsun­g dengan penuh debaran.

Mohd Azmizan Ruslih penjaring terakhir dan kemenangan tetapi penjaga gol Sabah, Mohd Sakri Masri juga menjadi wira menyelamat­kan dua sepakan terakhir Pahang.

Kemenangan itu juga hadiah istimewa buat ketua jurulatih, Johnny Dominicus yang menyambut ulan tahun ke-45 kelmarin.

Pengurus pasukan, Benedict Asmat mengucapka­n syabas kepada semua anggota pasukan tapi pantas menegaskan bahawa belum ada yang perlu diraikan.

“Perjuangan belum selesai kerana misi kita adalah merangkul pingat emas. Apapun kemenangan ini tetap tonik untuk menghadapi separuh akhir nanti,” kata Benedict ketika dihubungi selepas perlawanan. PARA pemain skuad bola sepak Sukma Sabah meraikan kemenangan mereka mengatasi Pahang di suku akhir acara bola sepak menerusi penentuan sepakan penalti bersama penjaga gol Mohd Sakri Masri yang berjaya menyelamat­kan dua sepakan penalti Pahang dengan agregat 7-6 selepas terikat 3-3 pada masa penuh permainan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia