6 peserta Zon Semenanjung layak ke peringkat akhir Bintang Kecil 2018
ENAM nama diumumkan malam tadi dalam Debaran Bintang Kecil 2018 (DBK 2018) yang menggegarkan Town Park, MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur adalah peserta terpilih mewakili Zon Semenanjung yang melayakkan diri menempah tiket ke ke Peringkat Akhir Bintang Kecil 2018 berlangsung di Kuching Sarawak pada Disember depan.
Mereka adalah Nur Safiya Ardina Shamsul Azrin (Perlis), Putera An-Nasa El Ubaidah Sahar Saidi (Terengganu), El Farabi Faeez Muhammad Faeez (Kuala Lumpur), Nasrul Ikhwan Saidi (Pahang), Adriana Qaseh Dania Asdarizam (Negeri Sembilan) dan Fatin Nur Amelia Budiman (Melaka).
Nur Safiya Ardina menyanyikan lagu ‘Semakin’, Putera An-Nasa El Ubaidah dengan lagu ‘Jampi’. Sementara itu, El Farabi Faeez tampil dengan gaya persembahannya tersendiri menyampaikan lagu ‘Sandiwara’ nyanyian asal Xpose Band.
Turut menambat hati juri persembahan meyakinkan daripada Nasrul Ikhwan dengan lagu ‘Kasih’, Adriana Qaseh Dania menonjol dengan lagu ‘Lelaki Teragung’ juga Fatin Nur Amelia, persembahan mantap lagu ‘Bunga’.
Kesemua 12 peserta bertanding mempersembahkan nyanyian pelbagai rentak lagu melayu secara solo dan suara harmoni berkumpulan lagu Inggeris bersama artisartis seperti Hael Hussaini, Ismail Izzani dan Indah Ruhaila dengan diiringi oleh Kombo RTM.
Persembahan mereka daripada segi vokal, persembahan dan kreativiti di nilai oleh juri Chakam, Amylea Azizan dan Mark Adam.
Enam peserta lain yang tersingkir adalah Irfan Danial Roslan (Selangor), Putri Mirza Afiqah Zaidi (Johor), Putri Nurshazwaniz Balqish Megat Zaniz Adlly (Kedah), Sabiatul Aliyah Solaidi (Pulau Pinang), Nuraisya Umairah Ahmad Uzir (Perak) dan Nurshasha Izzati Khairul Asyraf (Kelantan).
DBK 2018 menampilkan pengacara DJ Nazrie dan DJ Diany dari KLfm yang turut bergandingan bersama Sweet Qismina dan Shafie Naswip.
Selain itu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan artis undangan iaitu Ismail Izzani, Siti Erin, Nurul Maimanah (Juara Bintang Kecil 2014 & 2016), Wany Hasrita, Haziq Rozi, Haqiem Rusli, Hael Husaini dan Indah Ruhaila.
Pertandingan Bintang Kecil merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh RTM Sarawak. Stesen KLfm bertindak sebagai penyelaras dan melaksanakan pertandingan pada peringkat Zon Semenanjung Malaysia sahaja.
Pertandingan pencarian bakat nyanyian kanak-kanak ini diterbitkan oleh stesen Radio KLfm bagi Zon Semenanjung.
Program yang turut dirakam oleh Unit Hiburan TV serta stesen Radio KLfm akan disiarkan di saluran TV2 dan serta boleh diikuti melalui Radio KLfm menerusi frekuensi 97.2 pada bulan Oktober depan.