Utusan Borneo (Sabah)

Tiga ditahan berhubung kematian seorang sub kontraktor

-

SIBU: Polis memberkas tiga orang suspek termasuk seorang wanita awal pagi Ahad membantu siasatan kematian seorang sub kontraktor di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit, ketiga-tiga suspek berusia antara 23 dan 48 tahun ditangkap di Jalan Kampung Nyabor kira-kira 2 pagi hari ini dan akan direman serta menjalani saringan ujian air kencing.

Seorang lagi suspek lelaki berusia 41 tahun masih bebas sedang diburu.

Mangsa berasal berusia 51 tahun, berasal dari Kuching ditemui cedera dalam kenderaan pacuan empat roda di persimpang­an Jalan Sungai dan Jalan Lanang Barat pagi semalam oleh polis peronda dan telah dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia pada 9.56 malam.

Kenderaan mangsa telah dibawa ke Balai Polis Ulu Lanang di mana peralatan yang lazim digunakan untuk menghisap dadah ditemui di bahagian penumpang belakang. .

Stanley berkata laporan awal perubatan menyatakan mangsa tidak mengalami kecederaan luaran yang ketara namun berlaku pendarahan dalam otak.

Katanya, bedah siasat akan dilakukan dengan segera.

“Imbasan otak mendapati terdapat tiga kesan pendarahan pada bahagian kanan, hadapan dan tengah otak simati. Turut terdapat kesan lebam di lengan kiri, luka kecil di tepi mata kanan dan luka serta lebam pada mata kiri.

“Dipercayai dua suspek lelaki bersama seorang suspek masih bebas bertindak memukul simati kerana gagal mendapatka­n suspek wanita yang telah melarikan diri selepas mencuri dadah milik suspek, tetapi dinafikan oleh wanita itu,” jelasnya.

Kesemua suspek dan simati saling mengenali antara satu sama lain.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia