Cabaran Gunung Angsi 2018 platform promosi pelancongan Negeri Sembilan

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

KUALA PILAH: Program ‘Cabaran Gunung Angsi 2018’ dilihat mampu membantu mempromosikan lagi industri pelancongan di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

Beliau juga yang Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri berkata dengan penglibatan peserta dari luar negeri dan luar negara di dalam program sebegini, pengalaman yang mereka dapat pastinya dapat membantu mempromosikan Negeri Sembilan kepada orang lain.

“Adalah menjadi aspirasi Kerajaan Negeri Sembilan untuk menjadikan negeri ini sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia dan juga dikenali di luar negara.

Ini juga merupakan salah satu daripada usaha untuk mempromosi Gunung Angsi sebagai destinasi ekopelancongan negeri khususnya sukan pendakian selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk menjadikan industri pelancongan sebagai teras pembangunan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Cabaran Gunung Angsi 2018 di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan Salim Aman.

Beliau berkata penganjuran acara seperti ini adalah sebagai permulaan, dan kerajaan negeri telah merancang untuk menganjurkan “Sirkit Cabaran Gunung Negeri Sembilan” pada tahun hadapan.

“Program ini bakal melibatkan beberapa daerah yang mempunyai puncak gunung yang boleh ditawan seperti Gunung Datuk di Rembau; Gunung Tampin,Tampin; Gunung Berembun dan Gunung Besar Antu di Jelebu dan banyak lagi,” katanya.-Bernama

MENTERI Besar Aminuddin Harun (tengah) bergambar bersama pemenang kategori wanita terbuka Cabaran Gunung Angsi 2018, di Taman Eko Ulu Bendul, pada Ahad.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.